Ikuti Kami:

Hujan Bakal Gegar Bukit Jalil Sempena Ulang Tahun Ke-20

Hujan Bakal Gegar Bukit Jalil Sempena Ulang Tahun Ke-20

KUALA LUMPUR – Pejam celik, pejam celik, sudah dua dekad rupanya pelopor muzik indie rock alternatif negara, Hujan, mewarnai persada seni tanah air. Bermula dengan langkah kecil pada tahun 2005 yang sekadar mencuba nasib, karya mereka nyata berjaya ‘membasahi’ dan menyuburkan industri muzik bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh Nusantara.

Bagi meraikan perjalanan 20 tahun yang cukup gemilang ini, Hujan bersedia untuk mencipta satu lagi sejarah epik menerusi penganjuran konsert gergasi, HUJAN XX: #HUJAN20TAHUN yang dijadualkan berlangsung pada 27 Jun 2026 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Hujan Bakal Gegar Bukit Jalil Sempena Ulang Tahun Ke-20

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, penganjuran konsert berskala mega ini bukanlah semata-mata mengenai Hujan, sebaliknya ia adalah sebuah apresiasi dan perayaan buat ‘roh’ indie serta kesetiaan peminat tegar mereka, Raingers, yang sentiasa berdiri teguh di belakang mereka sejak kemunculan album pertama pada tahun 2007.

Kugiran yang kini diterajui oleh Noh Salleh, AG Coco, dan Izzat Uzaini ini bakal membawa peminat mengimbau kembali magis karya-karya malar segar mereka. Sudah pastinya, lagu-lagu berhantu seperti Pagi Yang Gelap, Aku Skandal, DugaanNya, Ahmoi Chantek, dan Bila Aku Sudah Tiada bakal bergema memecah kesunyian malam di Bukit Jalil kelak.

Pihak penganjur turut menyeru para penonton untuk tampil menyokong jenama lokal. Sesuai dengan semangat indie, Raingers diminta untuk memakai baju yang bertemakan kumpulan (band) atau jenama pakaian tempatan pada malam konsert tersebut. Barulah betul-betul #SupportLocal!

Menariknya, sempena edisi ulang tahun ke-20 ini, pihak penganjur tampil dengan pendekatan kreatif menerusi penamaan kategori tiket yang diinspirasikan daripada judul-judul lagu popular Hujan. Inisiatif ini bukan sahaja memberi sentuhan nostalgia buat peminat setia, malah menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan karya dan identiti muzik kugiran tersebut sepanjang dua dekad.

Hujan Bakal Gegar Bukit Jalil Sempena Ulang Tahun Ke-20

Bagi kategori terawal, tiket berharga RM158 dinamakan SANG ENEMY, diikuti kategori 123 GO pada harga RM188. Sementara itu, kategori pertengahan pula ditawarkan pada harga RM208 dengan nama MENCARI KONKLUSI, serta LONELY SOLDIER BOY pada harga RM228, yang turut mengambil inspirasi daripada judul lagu ikonik mereka.

Untuk peminat yang inginkan pengalaman lebih eksklusif, kategori ABCDEFGHUJAN ditawarkan pada harga RM248, manakala kategori tertinggi, CHECKCHECK ROCKROCK, dijual pada harga RM268. Keseluruhan penamaan tiket ini jelas menggambarkan kekuatan katalog Hujan yang bukan sahaja dekat di hati Raingers, tetapi juga kekal relevan sebagai sebahagian daripada sejarah muzik indie tempatan.

Buat para Raingers yang sudah tidak sabar untuk mengikat kembali ‘Rantai Rasa Cinta’ bersama Hujan, tiket akan mula dijual secara rasmi pada 10 April 2026, tepat jam 3.00 petang. Pembelian boleh dibuat menerusi platform rasmi di pautan www.ticket2u.com.my/Hujan.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada ‘Empayar’ Hujan dan raikan detik bersejarah dua dekad ini. Sampai jumpa di Bukit Jalil, Raingers! Korang ‘Harus Ada’!

Loading...