Mata Hati ‘Malaikat Malam’: Barisan Pelakon & Produksi Santuni 35 Komuniti Cacat Penglihatan Di Majlis Iftar
- oleh Editor MYBUZZ
- 8 Mar 2026 5:48 pm
KUALA LUMPUR – Produksi filem Malaikat Malam mengambil inisiatif mulia dengan meraikan 35 orang tetamu istimewa daripada Persatuan Orang Buta Malaysia dalam sebuah majlis berbuka puasa. Usaha murni ini merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat pihak penerbit bagi menyantuni komuniti orang kurang upaya (OKU) penglihatan, bertepatan dengan semangat perkongsian rezeki pada bulan Ramadan.
Menariknya, pemilihan komuniti ini sangat simbolik dengan teras penceritaan filem tersebut memandangkan watak utamanya, Ratna, merupakan seorang gadis yang cacat penglihatan. Ia secara tidak langsung menterjemahkan nilai empati dan kasih sayang dari layar perak ke dunia nyata.
Selain menjamu selera, majlis berkenaan turut diserikan dengan penyerahan sumbangan duit raya kepada para tetamu yang hadir sebagai tanda ingatan tulus ikhlas. Kemeriahan acara semakin dirasai apabila barisan pelakon dan kru produksi meluangkan masa beramah mesra dan berinteraksi secara dekat dengan tetamu dalam suasana yang cukup santai dan penuh kemesraan.

Antara selebriti dan tenaga kerja yang turun padang menjayakan majlis ini termasuklah Tracie Sinidol, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Akmal Asyraf, Riezman Khuzaimi, serta pengarah filem berkenaan, Nazifdin Nasrudin.
Mewakili pihak penerbit, Datuk Dr. Yusof Haslam selaku Pengerusi Skop Productions dan Penerbit Eksekutif memanjatkan rasa syukur atas penganjuran majlis tersebut dan menzahirkan penghargaan buat semua tetamu yang hadir. Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini sejajar dengan mesej utama Malaikat Malam yang mengangkat nilai penerimaan, empati, dan keupayaan untuk melihat menggunakan mata hati.
Nada yang sama turut disuarakan oleh Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, yang menyifatkan acara ini sebagai bukti bahawa sesebuah naskhah mampu menjadi medium hiburan yang berjiwa besar dan memberi inspirasi kepada masyarakat. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Puan Nini Yusof, memuji nilai kemanusiaan naskhah ini yang diyakini mampu menyentuh emosi para penonton kelak.

Bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 26 Mac 2026, filem Malaikat Malam merupakan gabungan gergasi antara Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw, dan Primeworks Studios.
Diterbitkan oleh pembikin filem blokbuster Syafiq Yusof , naskhah yang diterajui oleh Syafiq Kyle dan Tracie Sinidol ini mengisahkan titik perubahan hidup seorang ‘mat motor’ bernama Azam, selepas dia secara tidak sengaja melanggar Ratna.
Terdahulu, skuad Malaikat Malam turut berganding bahu bersama kumpulan penyanyi Alpha bagi mengedarkan juadah berbuka kepada pemandu yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Jalan Ampang pada 3 Mac lepas.
