Boulevard Syawal: Alamanda Putrajaya Hidupkan Suasana Kampung Dalam Taman Bunga Kertas
- oleh Editor MYBUZZ
- 8 Mar 2026 4:52 pm
PUTRAJAYA – Pusat Beli-Belah Alamanda kini bertukar wajah menjadi sebuah boulevard perayaan yang mempesonakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026. Bermula dari 27 Februari hingga 5 April 2026, kempen “Festive Boulevard” ini membawa pengunjung menyelami keindahan tradisi Melayu melalui dekorasi taman bunga kertas (bougainvillea) yang cukup mendamaikan.
Ruang Centre Court kini menjadi tumpuan utama dengan kehadiran struktur wakaf tradisional yang menampilkan seni bina bumbung berlapis dan gerbang kayu klasik, sekali gus menggamit memori nostalgia pulang ke kampung halaman.

Pengalaman di Alamanda diperhebatkan lagi dengan kewujudan terowong bunga kertas yang berwarna-warni, memberikan latar belakang yang sempurna untuk pengunjung merakam kenangan bersama keluarga.
Apabila senja berlabuh, suasana taman ini berubah menjadi lebih syahdu dengan limpahan cahaya keemasan daripada pelita tradisional dan hiasan lampu yang teliti. Kehangatan ini bukan sahaja bertujuan untuk mencantikkan ruang, malah simbolik kepada kemeriahan menyambut kepulangan insan tersayang pada pagi lebaran nanti.

Bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan, Alamanda telah menjadualkan pelbagai persembahan kebudayaan pada setiap hujung minggu. Pengunjung bakal dihiburkan dengan kelincahan tarian tradisional Melayu, selain alunan muzik daripada kumpulan Angklung dan persembahan Kuda Kepang yang jarang-jarang dapat disaksikan secara dekat.
Bagi generasi muda, ahli VIKids Club berpeluang menyertai bengkel kraf tangan seperti pembuatan Wau Bulan mini, sebagai usaha murni pihak pengurusan mall untuk memastikan warisan seni bangsa terus dihargai oleh kanak-kanak.

Tidak melupakan teras sebenar bulan Ramadan iaitu berkongsi rezeki, Alamanda turut menjalankan inisiatif komuniti dengan meraikan kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Amal Rukaiyah. Program murni ini merangkumi sesi membeli-belah baju raya, pemberian duit raya, serta majlis berbuka puasa yang penuh ukhuwah.
Sebagai penghargaan buat para pembeli, mereka yang berbelanja dalam jumlah tertentu berpeluang membawa pulang hadiah eksklusif seperti botol minuman bermotifkan flora (floral flask), baucar elektronik Alamanda bernilai RM50, serta set sampul raya yang direka khas.
Foto: Fas
