Ikuti Kami:

Menara Kuala Lumpur & Adabi Semarakkan ‘Kasih Ramadan’ Eratkan Komuniti

Menara Kuala Lumpur & Adabi Semarakkan ‘Kasih Ramadan’ Eratkan Komuniti

KUALA LUMPUR – Dalam usaha menyemarakkan semangat kebersamaan dan tradisi pada bulan mulia ini, Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Tower) telah melancarkan sebuah program komuniti istimewa  ‘Kasih Ramadan Kuala Lumpur Tower X Adabi’ yang telah belansung pada 6 Mac 2026.

Inisiatif yang digerakkan menerusi kolaborasi bersama syarikat tempatan terkenal, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., ini telah berjaya menghimpunkan komuniti setempat, barisan sukarelawan, serta rakan strategik untuk menjayakan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk.

Menara Kuala Lumpur & Adabi Semarakkan 'Kasih Ramadan' Eratkan Komuniti

Hidangan istimewa tersebut bukan sahaja sinonim dengan kedatangan bulan puasa, malah ia menjadi simbolik perpaduan serta cerminan nilai keprihatinan yang utuh dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Lebih daripada sekadar aktiviti mengagihkan juadah berbuka, penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh pihak Menara Kuala Lumpur  dalam usahanya untuk merapatkan lagi ukhuwah sesama komuniti. Pada masa yang sama, ia menjadi serampang dua mata bagi memelihara keunikan warisan budaya tempatan.

Penglibatan pelbagai pihak dalam sesi penyediaan bubur lambuk secara bergotong-royong ini juga dilihat sebagai satu medium yang sangat baik untuk menonjolkan keindahan tradisi Malaysia kepada para pelawat dari dalam dan luar negara.

Usaha murni ini secara tidak langsung turut menyokong aspirasi kempen Visit Malaysia 2026 yang bermatlamat untuk memperkukuh daya tarikan negara sebagai destinasi pelancongan yang berteraskan kebudayaan serta pengalaman bermakna.

Menara Kuala Lumpur & Adabi Semarakkan 'Kasih Ramadan' Eratkan Komuniti

Mengulas lanjut mengenai inisiatif kemasyarakatan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Encik Khairil Faizal Hj Othman, menyatakan bahawa bulan Ramadan merupakan waktu yang paling tepat untuk berkongsi rezeki dan mengeratkan ikatan silaturahim sesama insan.

Menurut beliau lagi, hasil kerjasama bersama pihak Adabi ini membolehkan mereka meneruskan tradisi yang dekat di hati rakyat Malaysia sambil berkongsi keindahan nilai tersebut dengan pelancong dari serata dunia.

Tambah Encik Khairil Faizal, Menara Kuala Lumpur sentiasa komited untuk bertindak sebagai sebuah platform holistik yang menyatukan pelbagai budaya, komuniti tempatan, serta mencipta pengalaman yang bernilai.

Kemeriahan program Kasih Ramadan ini jelas membuktikan bahawa sesebuah mercu tanda ikonik negara tidak terhad fungsinya sebagai lokasi pelancongan semata-mata, sebaliknya ia berupaya menjadi ruang inklusif yang menyatupadukan masyarakat melalui nilai kemanusiaan sejagat dan kebanggaan warisan budaya.

Loading...