Malam Gemilang Meerqeen, Rangkul Trofi Utama GMWA 2025 & Beri ‘Hint’ Projek Mega Tahun Ini
- oleh Editor MYBUZZ
- 16 Feb 2026 1:32 am
KUALA LUMPUR – Jika ada yang beranggapan populariti bintang tampan ini sudah sampai ke kemuncaknya, mereka nyata silap! Aktor dan model sensasi, Meerqeen, sekali lagi membuktikan pengaruh luar biasanya apabila merangkul anugerah utama di malam kemuncak Gempak Most Wanted Awards (GMWA) 2025 yang berlansung meriah di Auditorium MBSA, malam tadi.
Kemenangan besar ini menyaksikan Meerqeen berjaya menewaskan deretan pencabar hebat dari pelbagai latar belakang industri hiburan dan digital, sekali gus meletakkan dirinya di takhta selebriti paling berpengaruh dan ‘paling dikehendaki’ tahun ini.
Kejayaan pelakon berusia 24 tahun ini sememangnya sudah dijangka oleh ramai pihak. Pemilik nama sebenar Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam itu unggul mendominasi 2.5 juta undian peminat secara dalam talian. Malah, beliau turut memikat hati barisan juri profesional (terdiri daripada pengamal media elektronik dan tradisional) apabila membolot 40.5 peratus markah.
Bukan satu, tetapi dua! Aktor tampan ini turut membawa pulang trofi bagi kategori Selebriti Digital Tergempak, menjadikan malam tersebut satu kemenangan berganda buat dirinya.
Bercakap kepada pihak media selepas acara tamat, Meerqeen menyifatkan pengiktirafan ini sebagai pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh pada tahun 2026.
“Terima kasih kepada pihak penganjur dan barisan juri. Anugerah ini akan menjadi permulaan yang lebih besar untuk tahun 2026,” kongsinya teruja.

Menariknya, penampilan fizikal Meerqeen yang kelihatan lebih ‘sado’ dan tegap kebelakangan ini turut menjadi perhatian. Rupa-rupanya, perubahan tersebut adalah persiapan untuk satu kejutan besar buat peminatnya.
“Saya sedang melakukan sesuatu yang besar untuk anda semua. Saya tahu badan saya nampak lebih besar dan berisi sekarang, tetapi itu hanya sementara kerana saya sedang membuat persiapan untuk sesuatu yang akan disajikan kepada anda,” dedahnya, membiarkan peminat terus berteka-teki mengenai naskhah terbaharunya.
Berikut adalah senarai penuh pemenang GMWA2025;
1. Digital Creator (Gayahidup) Tergempak – Wani Faizun
2. Digital Creator (Hiburan) Tergempak – Christy Eng
3.Digital Creator (Foodie) Tergempak – Jason
4. Digital Creator (Motivasi & Pendidikan) Tergempak – Sir Badang
5. Digital Creator (E-Sukan) Tergempak – Hakim Nanyan
6. Selebriti Tergempak – Meerqeen
7. Drama Tergempak – Thariq Ridzuwan His Treasure
8. Video Muzik Tergempak – Alpha
9. Lagu Era Tergempak – Alpha
10. Program Digital Tergempak – Sembang Seram (Safwan Nazeri)
11. Digital Creator (Beauty & Fashion) Tergempak – Nigel Sparks
12. Hos Program Tergempak- Amelia Henderson
13. Gempak Most Wanted Awards – Meerqeen
Acara GMWA tahun ini yang mengangkat tema ‘Re-Culture’ (mentafsir semula budaya agar kekal relevan) turut menyaksikan kemenangan beberapa nama besar lain. Kumpulan muzik Alpha cemerlang merangkul dua trofi bagi Lagu Era Tergempak (Mona Lisa – Bang Bang) dan Video Muzik Tergempak (P. Ramlee Saloma).
Sementara itu, pelakon jelita Amelia Henderson diumumkan sebagai Hos Program Tergempak, manakala kategori Drama Tergempak dimenangi oleh Thariq Ridzuwan: His Treasure. Pengkarya digital juga tidak dilupakan apabila nama-nama seperti Christy Ng, Jason, Sir Badang, Nigel Sparks, Wani Faizun, dan Hakim Nanyan masing-masing membawa pulang trofi bagi kategori pencipta kandungan (Digital Creator) pilihan peminat.
