Ikuti Kami:

Laku Keras! Tiket ‘The Grand Slam Unplugged 2’ Laris 70 Peratus, Kategori PS3 & PS4 ‘Licin’ Disapu Peminat

Laku Keras! Tiket ‘The Grand Slam Unplugged 2’ Laris 70 Peratus, Kategori PS3 & PS4 ‘Licin’ Disapu Peminat

KUALA LUMPUR – Penangan kumpulan legenda, Slam ternyata belum pudar apabila tiket konsert sekuel mereka, ‘The Grand Slam Unplugged 2’ dilaporkan laku keras dan sudah terjual sebanyak 70 peratus sejak mula dilancarkan pada 13 Februari lalu.

Bakal berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 20 Jun 2026, penganjuran berskala besar ini dijangka menjadi medan nostalgia paling epik buat peminat setia yang merindui zaman kegemilangan kumpulan tersebut.

Mengesahkan perkara itu, pemain dram Slam, Osman Khalid meluahkan rasa syukur dan terharu dengan kesetiaan luar biasa yang ditunjukkan oleh peminat mereka. Kehangatan konsert ini turut dibuktikan apabila tiket bagi kategori PS3 dan PS4 disahkan telah pun habis terjual (sold out) sepenuhnya.

Konsert ini bakal mengembalikan detik bersejarah dan momen magis sewaktu edisi perdana ‘The Grand Slam Unplugged’ yang berlangsung di Stadium Merdeka pada 3 Ogos 1996. Walaupun persembahan mereka ketika itu tergendala akibat gangguan elektrik, ia tetap diiktiraf sebagai antara sejarah terhebat industri muzik tempatan kerana konsert berjaya diteruskan dengan gah.

Namun, gitaris utama Slam, Shah menegaskan bahawa penganjuran kali ini bukanlah satu konsert ulang tayang atau sengaja mahu menumpang tuah sejarah terputus bekalan elektrik dua dekad lalu.

“Ini tentang sebuah apresiasi serta perayaan yang merayakan karya dan peminat. Ia tentang perayaan kekuatan Slam mengharungi badai dan mampu bertahan sekaligus kekal relevan dengan pasaran sekarang,” jelas Shah.

Laku Keras! Tiket ‘The Grand Slam Unplugged 2’ Laris 70 Peratus, Kategori PS3 & PS4 ‘Licin’ Disapu Peminat

‘The Grand Slam Unplugged 2’: Perjalanan masa bersama lagu-lagu evergreen Slam

 

Beliau turut menyifatkan konsert ini sebagai satu reminisensi dan keraian terhadap lagu-lagu Slam yang terus hidup merentasi zaman kaset, beralih ke era cakera padat (CD), sehinggalah ke era penstriman digital hari ini.

Bagi merancakkan lagi kehangatan malam The Grand Slam Unplugged 2′, 20 Jun ini, kumpulan Slam tampil membuat kejutan istimewa dengan menjemput tiga figura legenda yang cukup sinonim dalam penciptaan karya agung industri muzik tempatan, iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search. Kehadiran mereka dijangka menambah nilai eksklusif serta memperkayakan pengalaman musikal konsert tersebut.

Aznan Alias menyifatkan undangan itu sebagai satu penghormatan yang tidak disangka-sangka. Beliau turut melabelkan Slam sebagai wajah sebenar bagi genre Pop Melayu di Malaysia, sekali gus mengiktiraf pengaruh besar kumpulan tersebut dalam membentuk landskap muzik tempatan.

JoBranko pula meluahkan rasa bangga apabila diberi peluang untuk menyertai projek mega ini. Menurut beliau, kekuatan utama Slam terletak pada semangat kebersamaan dalam kalangan anggotanya.

“Lebih membanggakan, Slam dianggotai lima kepala dan semuanya perlu menjadi satu, ‘bersatu’ untuk kekal sehingga kini,” ujarnya, memuji kesatuan yang menjadi tunjang kejayaan kumpulan itu.

Sementara itu, Kid Search melihat pembabitannya dalam konsert ini sebagai satu bentuk apresiasi sesama penggiat seni, walaupun mereka datang daripada latar genre yang berbeza. Baginya, muzik sentiasa menjadi medium yang menyatukan semua, melangkaui perbezaan dan mewujudkan keharmonian dalam industri.

Laku Keras! Tiket ‘The Grand Slam Unplugged 2’ Laris 70 Peratus, Kategori PS3 & PS4 ‘Licin’ Disapu Peminat

70 peratus tiket telah terjual, ‘The Grand Slam Unplugged 2’ terima sambutan hangat

 

Antara kategori tiket yang masih ditawarkan termasuk Grand VIP berharga RM3000.00 (Couple Sofa), diikuti VIP (Gold) pada harga RM468.00 dengan tempat duduk bernombor. Turut tersedia ialah kategori PS1 (Silver) berharga RM388.00 serta PS2 (Platinum) pada harga RM368.00, kedua-duanya juga menawarkan tempat duduk bernombor untuk keselesaan penonton.Namun begitu, perlu diambil perhatian bahawa harga tiket yang dinyatakan adalah tidak termasuk caj pengendalian tiket serta fi pemprosesan gerbang pembayaran (payment gateway processing fees).

Bagi peminat yang masih belum mendapatkan pas masuk untuk menyaksikan pertembungan momen epik ini, tiket yang berbaki masih boleh dibeli secara dalam talian menerusi platform rasmi di www.ilassotickets.com/thegrandslamunplugged2.

Loading...