Ikuti Kami:

Kumpulan M-Pop ALPHA Cipta Sejarah Bolos Pencalonan Music Awards Japan 2026

Kumpulan M-Pop ALPHA Cipta Sejarah Bolos Pencalonan Music Awards Japan 2026

KUALA LUMPUR – Kumpulan M-Pop sensasi tanah air, ALPHA melakar sejarah tersendiri apabila sah tercalon dalam anugerah antarabangsa berprestij, Music Awards Japan 2026. Kejayaan ini sekali gus meletakkan kumpulan di bawah naungan Rocketfuel Entertainment itu sebagai wakil tunggal dari Malaysia yang menembusi kategori Best of Listeners’ Choice: International Song yang dibawakan khas oleh platform penstriman Spotify.

Lebih membanggakan, kumpulan yang dianggotai oleh tujuh jejaka tampan—Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Araff, Ray-D, dan Afiq Sky—ini bakal bersaing sengit dengan barisan bintang gergasi dunia. Antara nama besar yang turut berentap dalam kategori sama termasuklah Taylor Swift, Justin Bieber, Lady Gaga, Blackpink, Shakira, TWICE, SEVENTEEN, Jin (BTS), ENHYPEN, dan Sabrina Carpenter.

Kumpulan M-Pop ALPHA Cipta Sejarah Bolos Pencalonan Music Awards Japan 2026

ALPHA satu-satunya wakil Malaysia dalam Music Awards Japan 2026

 

Pencalonan antarabangsa pertama ini juga dipacu oleh tuah lagu hit mereka, P Ramlee Saloma. Naskhah tersebut melakar sejarah yang cukup membanggakan apabila diiktiraf sebagai karya pertama ciptaan rakyat Malaysia yang berjaya lolos ke pusingan akhir anugerah berprestij di negara matahari terbit itu.

Menyingkap rekod cemerlang ALPHA, kumpulan ini tidak dinafikan mempunyai empayar peminat yang kuat. Sehingga kini, mereka telah mengumpul lebih 60 juta jumlah penstriman keseluruhan bagi lagu-lagu nyanyian mereka.

Lagu P Ramlee Saloma sendiri pernah mendominasi kedudukan nombor satu carta Spotify Malaysia Daily Top Songs selama 30 hari, selain menjuarai carta RIM. Terdahulu, mereka turut merangkul dua trofi di majlis Gempak Most Wanted Awards.

Kumpulan M-Pop ALPHA Cipta Sejarah Bolos Pencalonan Music Awards Japan 2026

Music Awards Japan 2026 (MAJ 2026) ialah sebuah acara anugerah muzik antarabangsa terbesar dari Jepun yang meraikan karya, artis dan pencipta muzik terbaik dari Jepun, Asia serta peringkat global.

 

Mengulas mengenai momen magis ini, ahli kumpulan ALPHA, Daniel Sher menyifatkan pencalonan tersebut sebagai satu pengiktirafan yang melangkaui sempadan dan amat menghargai sokongan peminat yang sentiasa bersama mereka sejak hari pertama.

“Ini baru permulaan. Kami melihat pencalonan ini sebagai tanggungjawab untuk terus bekerja lebih keras dan membawa nama Malaysia lebih jauh di peringkat antarabangsa,” tegas Rizal Rasid pula.

 

 

umpulan M-Pop ALPHA Cipta Sejarah Bolos Pencalonan Music Awards Japan 2026

Kumpulan ALPHA tercalon dalam kategori Best of Listeners’ Choice: International Song powered by Spotify untuk lagu P.Ramlee  Saloma

 

Sementara itu, Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Anand menganggap kejayaan ini sebagai isyarat jelas bahawa kualiti pemuzik dan bakat tempatan memiliki potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa bersandarkan kerja keras dan konsistensi.

Dalam perkembangan berasingan, rakan anggota ALPHA, Afiq Sky turut berkongsi berita gembira mengenai pelancaran album sulung mereka yang dijadualkan menemui peminat pada 15 Jun 2026. Album tersebut disifatkan sebagai naskhah yang sangat peribadi kerana ia merangkum keseluruhan perjalanan sebenar, pengalaman jatuh bangun, serta impian mereka sejak awal penubuhan.

Bagi memastikan kemenangan ALPHA di pentas Music Awards Japan 2026, para peminat boleh terus memberikan sokongan memandangkan undian awam bagi kategori berkenaan telah pun dibuka bermula 30 April lalu dan akan ditutup pada 20 Mei 2026. Undian boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman web rasmi www.musicawardsjapan.com.

Loading...