Duet Emosi Ary Klangit & Dina Rijeu Bikin ‘Kau Bersama Dia’ Lebih Berbekas
- oleh Editor MYBUZZ
- 6 May 2026 12:03 pm
KUALA LUMPUR – Kumpulan pop rock popular tanah air, Klangit kembali mengukuhkan cengkaman mereka dalam industri muzik tempatan dengan mempertaruhkan sebuah naskhah sarat emosi berjudul Kau Bersama Dia.
Lebih istimewa, kemunculan semula kumpulan ini diserikan dengan penampilan penyanyi jemputan, Dina Rijeu, yang pastinya bakal meruntun jiwa para pendengar. Kekuatan utama single terbaharu ini sudah semestinya terletak pada paduan vokal yang cukup serasi antara vokalis utamanya, Ary Klangit dan Dina Rijeu.

Single baharu Klangit ‘Kau Bersama Dia’ selami realiti cinta tak kesampaian
Gabungan suara yang mewakili perspektif seorang lelaki dan wanita ini bukan sahaja menambah kedalaman emosi, malah berjaya memberikan dimensi naratif yang lebih menyeluruh, menjadikan lagu ini lebih berbekas di hati. Tona vokal Dina yang sarat dengan rasa dipadankan pula dengan karakter suara Ary yang tersendiri, sekaligus menghasilkan satu keseimbangan vokal yang cukup memukau.
Menyelami bait-bait liriknya, Kau Bersama Dia merupakan sebuah refleksi realiti kehidupan yang menyentuh sisi paling rapuh dalam diri manusia iaitu perasaan kehilangan, penerimaan, dan erti keikhlasan dalam mencintai.
Naskhah ini menceritakan tentang kepahitan apabila individu yang dicintai memilih untuk bersama insan lain, meninggalkan mangsa dalam dilema perit antara terus berharap ataupun melepaskan.
Menariknya, lagu yang membawa mesej bahawa “tidak semua cinta ditakdirkan untuk dimiliki” ini bukanlah rekaan semata-mata, sebaliknya ia diinspirasikan daripada pengalaman sebenar ahli kumpulan Klangit sendiri dan kisah individu di sekeliling mereka.
Bagi memastikan emosi lagu ini sampai kepada pendengar, susunan muziknya yang mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan telah dibina secara berlapis dengan penekanan khusus terhadap elemen melankolik. Lagu ini merupakan ciptaan sepenuhnya oleh kumpulan Klangit merangkumi komposisi, lirik, susunan muzik, dan penerbitan.
Bagi melengkapkan penceritaan visual, sebuah muzik video rasmi turut diterbitkan dengan pendekatan yang lebih bersederhana namun kekal sarat dengan emosi. Tanpa elemen yang keterlaluan, video tersebut memberi fokus sepenuhnya kepada ekspresi wajah, bahasa tubuh, dan jalan cerita yang realistik.
Peminat dan pencinta muzik tempatan sudah boleh mula menonton muzik video rasmi Kau Bersama Dia di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ yang telah dilancarkan pada 30 April 2026, jam 8.00 malam.
Sementara itu, audio rasmi lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik digital utama bermula 1 Mei 2026. Klangit berharap karya jujur ini mampu menjadi teman setia buat mereka yang sedang bergelut dengan fasa kehilangan, di samping menjadi medium meluahkan perasaan yang terpendam.
Dalam perkembangan lain, kumpulan ini merancang untuk terus aktif mewarnai industri dengan menghasilkan lebih banyak karya baharu dan memperbanyakkan persembahan secara langsung pada masa akan datang.
