MONSTA Ungguli AHIN 2026, Kukuhkan Dominasi Harta Intelek Malaysia di Pentas Global
- oleh Editor MYBUZZ
- 5 May 2026 10:29 pm
KUALA LUMPUR – Syarikat animasi tempatan, MONSTA, terus mencipta sejarah apabila muncul sebagai antara penerima pengiktirafan tertinggi pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2026 (AHIN), anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan MONSTA sebagai peneraju dalam pembangunan dan pengurusan harta intelek (IP) bertaraf global.
Majlis yang berlangsung di Menara MyIPO itu menyaksikan MONSTA membawa pulang empat anugerah utama, termasuk Anugerah Khas Pencapaian Komersial, Gangsa bagi Organisasi Terunggul Harta Intelek, serta dua anugerah emas menerusi kategori Nadi Kreatif (Hak Cipta) untuk BoBoiBoy Galaxy Season 2 dan Juara Jenama (Cap Dagangan) bagi BoBoiBoy Watch.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan keupayaan syarikat itu dalam mengurus, melindungi dan mengembangkan aset IP secara strategik, daripada penciptaan kandungan hingga ke pengkomersialan merentas pelbagai platform.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, berkata kemenangan di AHIN 2026 bukan sekadar mengiktiraf karya kreatif, tetapi juga disiplin tinggi dalam pengurusan harta intelek.
“Dalam ekonomi kreatif hari ini, perlindungan IP menjadi semakin kritikal. Kami sentiasa memberi fokus kepada inovasi serta memastikan aset teras kami dilindungi dengan kukuh,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan penting MyIPO dalam membantu syarikat tempatan mempertahankan hak cipta serta mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Pengarah Media MONSTA, Faiz Zainal Aabidin, menjelaskan bahawa kekuatan syarikat terletak pada pendekatan menyeluruh terhadap pembangunan IP.
“MONSTA bukan sekadar menghasilkan animasi, tetapi membina pengalaman 360 darjah – daripada televisyen, pawagam, media sosial hingga ke produk fizikal dan kolaborasi strategik. Ini membolehkan IP kami menembusi lebih 70 negara,” ujarnya.
Pencapaian MONSTA selari dengan tema sambutan tahun ini, “Dari Idea ke Podium: Harta Intelek Nadi Malaysia Madani”, yang menekankan kepentingan idea sebagai aset bernilai tinggi dalam memacu ekonomi negara.
Kejayaan ini sekali lagi membuktikan bahawa karya tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab kreatif yang semakin disegani di pentas dunia.







