Ikuti Kami:

Kong Tao Satukan Bintang Empat Negara, Dedah Misi Bongkar Tragedi Mistik

Kong Tao Satukan Bintang Empat Negara, Dedah Misi Bongkar Tragedi Mistik

PETALING JAYA  – Misteri amalan ilmu hitam Nusantara yang sering menjadi perbualan rahsia masyarakat kini diangkat ke layar perak! Menjelang tayangan rasminya di pawagam seluruh negara pada 19 Mac ini , filem seram terbaharu bertajuk Kong Tao tampil membuat kejutan dengan menyatukan barisan pelakon antarabangsa dari empat buah negara berbeza.

Majlis tayangan media dan sidang akhbar filem tersebut yang berlangsung di TGV Cinema, Sunway Pyramid semalam turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon utama filem Kong Tao. Antara yang mencuri perhatian ialah bintang terkenal Thailand, Kao Supassara Thanachat, yang hadir buat pertama kali ke Malaysia bagi mempromosikan naskhah tersebut.

Kong Tao Satukan Bintang Empat Negara, Dedah Misi Bongkar Tragedi Mistik

Turut memeriahkan acara ialah aktor berpengalaman dari Hong Kong, Philip Keung, yang telah lama dikenali menerusi watak-watak berat dan berintensiti tinggi. Kehadiran dua pelakon dari Singapura, Glenn Yong dan Mayiduo, turut menambah warna kepada sesi tersebut, mencerminkan kerjasama serantau yang menjadi antara kekuatan filem ini.

Selain itu, barisan pelakon tempatan seperti Bront Palarae, Yumi Wong dan Eric Lay turut hadir bagi berkongsi pengalaman mereka terlibat dalam projek berskala antarabangsa ini. Keberadaan mereka melengkapkan gabungan pelakon dari empat negara, menjadikan majlis tersebut lebih meriah dan penuh antisipasi menjelang tayangan rasmi filem Kong Tao.

Menurut dua orang pengarah filem ini, Peiji Goh dan Yong Choon Lin , naskhah Kong Tao dihasilkan berpandukan inspirasi daripada kisah mistik dan kepercayaan ilmu hitam yang sememangnya wujud di ruang lingkup Asia Tenggara.

Bagi memastikan penceritaan ini autentik dan dekat di hati penonton, pasukan produksi telah menghabiskan masa selama 18 bulan merentas negara untuk mengkaji dan menemubual hampir 30 pengamal ilmu hitam dan putih, mangsa-mangsa, serta individu yang berkaitan. Kajian mendalam ini bertujuan untuk menjadikan filem tersebut sebagai satu “ensiklopedia visual” mengenai budaya yang kian dilupakan ini.

Kong Tao Satukan Bintang Empat Negara, Dedah Misi Bongkar Tragedi Mistik

Sewaktu sesi bersama media, para pelakon menyifatkan pengalaman penggambaran filem ini sebagai amat mencabar. Mereka perlu menghidupkan watak-watak yang sarat dengan bebanan emosi serta berhadapan dengan tekanan psikologi.

Bagi aktor Hong Kong, Philip Keung yang menggalas watak Ming Gor, seorang perantis kepada bomoh ilmu hitam, beliau telah mengambil inisiatif untuk mempelajari asas bahasa Thai demi menghidupkan watak tersebut dengan lebih meyakinkan.

Sementara itu, Kao Supassara yang membuat kemunculan di Kuala Lumpur pula meluahkan keterujaannya dapat bekerjasama dengan produksi dari Malaysia, terutamanya menerusi babak-babak bergandingan bersama Bront Palarae.

Kong Tao Satukan Bintang Empat Negara, Dedah Misi Bongkar Tragedi Mistik

Bront menggalas tanggungjawab sebagai Amin, seorang pemandu pelancong tempatan , manakala Kao Supassara melakonkan watak Fon, seorang wartawan cekal yang menyiasat kes kematian akibat amalan ilmu hitam.

Kong Tao membawa penonton mengikuti perjalanan Fon (Kao Supassara) yang tekad merungkai kebenaran di sebalik satu kes lama melibatkan sekumpulan pelajar yang dipercayai menjadi mangsa kekejaman ilmu hitam.

Siasatannya membawa Fon kepada pertemuan dengan empat orang YouTuber yang dilakonkan oleh Glenn Yong (Chen Xin), Eric Lay (Wei Kang), Mayiduo (Potato), dan Yumi Wong yang pernah menjalankan eksplorasi paranormal di Thailand.

Ekspedisi mencari pengalaman luar biasa yang disangka menyeronokkan itu bertukar menjadi sebuah mimpi ngeri apabila kesemua mereka mula dihantui dengan gangguan kejadian aneh sejurus selepas pulang ke tanah air. Situasi menjadi lebih tragis apabila salah seorang daripada kumpulan tersebut mati secara misteri.

Percaya bahawa gangguan tersebut adalah sejenis sumpahan, Fon dengan bantuan Amin dan pengamal ilmu putih terpaksa bertarung dengan masa untuk mematahkan kejahatan tersebut. Namun, usaha mereka tanpa disangka telah menyingkap sebuah rahsia gelap yang jauh lebih mendalam dan mengerikan.

Naskhah kerjasama mantap antara produksi Malaysia, Thailand, dan Singapura ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan FINAS. Jangan lupa saksikan Kong Tao di pawagam seluruh negara bermula hari ini di pawagam seluruh Malaysia!

Loading...