Ikuti Kami:

Balada Melankolik ‘Aku Rindu’ Buktikan Kedewasaan Vokal & Jiwa Khai Bahar

Balada Melankolik ‘Aku Rindu’ Buktikan Kedewasaan Vokal & Jiwa Khai Bahar

KUALA LUMPUR – Menjelang ketibaan Syawal, penyanyi bersuara lantang Khai Bahar kembali menyentuh emosi peminat menerusi pelancaran single Raya terbaharunya yang berjudul “Aku Rindu”. Diterbitkan di bawah naungan label Sony Music Entertainment Malaysia, naskhah ini mendapat sentuhan melodi daripada komposer Farouk Roman, manakala liriknya dinukilkan oleh Adrianna Cinta.

Berbeza dengan lagu perayaan yang kebiasaannya mengangkat tema keceriaan, “Aku Rindu” tampil berani sebagai sebuah balada dramatik dan melankolik yang menterjemahkan gelombang rindu Khai terhadap ibu tercinta yang telah pergi buat selamanya.

Lagu ini dengan jelas menampilkan kedewasaan vokal dan penghayatan jiwa Khai Bahar sebagai seorang penyanyi yang semakin matang dalam menyampaikan emosi mendalam. Untuk memastikan rasa rindu dan melankolik itu benar‑benar meresap ke hati pendengar, Khai menggunakan beberapa teknik vokal yang dirancang dengan teliti bagi menghidupkan setiap bait lagu.

Balada Melankolik Aku Rindu Buktikan Kedewasaan Vokal & Jiwa Khai Bahar

Antara elemen yang menyerlah ialah penggunaan breathy tone, iaitu nada bernafas yang diterapkan pada bahagian bait lirik, memberikan tekstur lembut dan intim seolah‑olah pendengar sedang dibisikkan rasa rindu yang terpendam. Pada bahagian korus pula, Khai melontarkan vokal penuh namun tetap mengekalkan kelembutannya, menghasilkan keseimbangan yang tepat antara kekuatan dan kehalusan emosi.

Selain itu, suntikan falsetto halus di beberapa bahagian tertentu menambah dimensi dramatik yang memperindah perjalanan emosi lagu, menjadikannya lebih menyentuh dan berlapis. Paling mencabar ialah kawalan vokal pada korus terakhir di bahagian klimaks yang memerlukan imbangan yang sangat teliti antara ‘power’ dan ‘feel’. Jika terlalu kuat, ia boleh merosakkan jiwa lagu; jika terlalu perlahan, impaknya pula tidak sampai. Kepekaan inilah yang menjadikan penyampaian Khai begitu berkesan dan dekat di hati pendengar.

Khai Bahar mendedahkan bahawa proses rakaman lagu ini telah dijalankan dalam suasana yang cukup tenang dan fokus bagi membolehkannya menyelami setiap bait lirik. Beliau turut meminta agar beberapa sesi rakaman diulang semata-mata untuk mendapatkan ‘mood’ dan rasa yang paling tepat.

Naskhah yang lahir daripada pengalaman peribadinya ini menuntut Khai untuk membayangkan suasana sebenar malam raya, seperti alunan bunyi takbir dan kepulangan orang ramai ke kampung halaman, demi menyalurkan perasaan tulus ke dalam nyanyiannya.

Beliau percaya bahawa jika penyanyi itu sendiri merasai emosinya, ia pasti akan sampai ke hati pendengar.Menurut penyanyi itu lagi, “Aku Rindu” bersifat lebih reflektif dan emosional, dihasilkan khas untuk dirasai terutamanya oleh mereka yang sedang berjauhan di perantauan mahupun yang sedang berdepan kehilangan insan tersayang.

Beliau menaruh harapan besar agar lagu ini mampu membuatkan pendengar terdiam sejenak dan mengimbau kenangan bersama insan yang bermakna dalam hidup mereka.Peminat kini boleh menghayati dan menstrim single “Aku Rindu” di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube.

Loading...