Ikuti Kami:

PETRA Siap Siaga: Pengurusan Risiko Banjir Jadi Keutamaan Jelang Syawal

PETRA Siap Siaga: Pengurusan Risiko Banjir Jadi Keutamaan Jelang Syawal

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi mendepani baki tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026. Walaupun musim perayaan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi, operasi pengurusan risiko banjir tetap menjadi fokus utama demi menjamin keselamatan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, menegaskan bahawa pelaksanaan perancangan awal dan penyelarasan sumber oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah kritikal bagi memastikan pengurusan bencana yang berkesan. Setakat 17 Mac 2026, sebanyak 745 kejadian banjir telah direkodkan di seluruh negara, kecuali di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Bagi mengoptimumkan pengurusan risiko, PETRA telah melaksanakan strategi pemantauan 24 jam yang komprehensif. Melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), pemantauan dilakukan sepanjang masa menggunakan model ramalan di 36 lembangan sungai. Sistem ini turut disokong oleh 1,798 stesen hidrologi telemetri yang merekodkan data hujan dan aras air secara langsung, sekali gus membolehkan maklumat terkini diperoleh dengan cepat.

Selain itu, sistem amaran awal turut diperkukuhkan dengan pemasangan sebanyak 614 siren amaran banjir dan 197 kamera pemantauan di lokasi strategik. Sehingga 16 Mac, sebanyak 675 pengaktifan siren telah direkodkan, bertujuan memberi amaran awal kepada penduduk yang berada di kawasan berisiko.

Untuk memastikan maklumat sampai dengan lebih berkesan, hebahan amaran banjir juga dilakukan melalui SMS. Kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi membolehkan mesej amaran dihantar terus kepada penduduk di kawasan terjejas.

JPS telah mengenal pasti sebanyak 3,682 lokasi hotspot banjir di seluruh negara. Lokasi ini dikategorikan berdasarkan kekerapan banjir sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun terakhir. Negeri Pahang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 760 lokasi, diikuti Kelantan (618) dan Sabah (517). Dari segi aset fizikal, sebanyak 606 pam mudah alih, 1,079 pintu kawalan air, serta 285 rumah pam berada dalam keadaan baik dan sedia untuk dioperasikan pada bila-bila masa. Pemantauan rapi turut dilakukan terhadap 16 empangan kendalian JPS dan 761 kolam takungan banjir bagi memastikan keupayaan takungan berada pada tahap optimum.

PETRA menasihatkan orang awam agar sentiasa peka dan mengikuti maklumat rasmi berkaitan ramalan serta amaran banjir menerusi laman web Public Infobanjir dan Aplikasi Mudah Alih iaitu MyPublicInfoBanjir (tersedia di Google Play Store dan Apple App Store).

Kerajaan kekal komited untuk memastikan pengurusan bencana dilaksanakan secara efisien dan terselaras bagi meminimumkan impak kepada rakyat dan negara.

Loading...