Ikuti Kami:

Barisan Penyampai Suria FM Bersatu Dalam “Gurindam Aidilfitri”, Lagu Raya Baharu Sarat Mesra & Nostalgia

Barisan Penyampai Suria FM Bersatu Dalam “Gurindam Aidilfitri”, Lagu Raya Baharu Sarat Mesra & Nostalgia

KUALA LUMPUR – Stesen radio popular, Suria FM, kembali merancakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan melancarkan sebuah lagu dan muzik video (MV) terbaharu berjudul “Gurindam Aidilfitri”. Menariknya, karya istimewa ini menampilkan paduan suara barisan penyampai kesayangan ramai iaitu Fad, Ajak, Elly, Cik Piah, Chiwan, Kai, Irsyad, dan DJ Lin.

Dilancarkan secara rasmi pada 9 Mac 2026, lagu ini menyuntik elemen muzik yang ceria menerusi gabungan irama tradisional dan moden. Sentuhan melodi ini ternyata berjaya membangkitkan suasana perayaan yang penuh nostalgia serta mengangkat nilai kekeluargaan yang tinggi.

Naskhah hebat ini diterbitkan oleh Lsandbeats Legacy, dengan hasil komposisi Luca Sickta dan Nazif Analog, manakala liriknya pula dicanai indah oleh Luca Sickta, Nazif Analog, dan B-Heart.

Barisan Penyampai Suria FM Bersatu Dalam Gurindam Aidilfitri, Lagu Raya Baharu Sarat Mesra & Nostalgia

Selari dengan lagu, muzik videonya pula memaparkan visual momen klasik yang sering dinantikan setiap kali tibanya Syawal. Antaranya termasuklah amalan bermaaf-maafan, kunjung-mengunjung, berkongsi juadah raya, serta merakamkan kenangan manis bersama ahli keluarga dan sahabat handai.

Naskhah ini secara jelas menekankan semangat kebersamaan, melupakan kesilapan lalu, dan merapatkan kembali ikatan silaturrahim.Turut diselitkan adalah penampilan beberapa model kenderaan Toyota menerusi kolaborasi bersama jenama tersebut, yang membawa mesej penting mengenai perjalanan pulang ke kampung halaman dengan selamat dan selesa bersama insan tersayang.

Bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri, Suria FM turut mengajak para pendengar untuk menyertai “Gurindam Aidilfitri Dance Challenge”, sebuah cabaran tarian yang direka khusus untuk menghidupkan lagi keceriaan lagu tersebut. Sebagai galakan, peserta berpeluang merebut hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan mencecah RM3,000.

Hadiah yang ditawarkan merangkumi tiga kategori pemenang, iaitu RM1,500 untuk tempat pertama, RM1,000 bagi tempat kedua, dan RM500 untuk tempat ketiga. Dengan hadiah lumayan serta konsep tarian yang mudah diikuti, cabaran ini diharap dapat menarik penyertaan keluarga, rakan-rakan, dan para peminat Suria FM untuk bersama-sama merasai semangat Syawal yang penuh kegembiraan.

Peserta hanya perlu merakamkan aksi mengikut langkah tarian rasmi seperti yang ditunjukkan di dalam muzik video. Orang ramai sangat digalakkan untuk menyertai cabaran ini beramai-ramai bersama keluarga dan rakan-rakan memandangkan konsepnya yang mudah, lebih ramai, lebih meriah.

Peminat kini boleh menonton muzik video penuh “Gurindam Aidilfitri” menerusi saluran YouTube rasmi, Suria Malaysia. Suria FM amat berharap agar buah tangan terbaharu ini mampu menceriakan lagi sambutan Aidilfitri 2026 dengan penuh kegembiraan dan kemaafan.

Loading...