Art of Speed 2026 Kembali Menggegar! SoundCircus Tampil Mega Dengan 6 Pentas & Barisan 50+ Artis Merentas Benua
- oleh Editor MYBUZZ
- 17 Mar 2026 2:22 pm
SERDANG – Berita baik buat pencinta permotoran dan penggemar muzik alternatif! Selepas dua tahun menyepi, festival muzik gaya hidup permotoran tersohor, SoundCircus Festival, bakal kembali mewarnai acara tahunan ikonik Art of Speed 2026 (AOS 2026). Lebih mengujakan, edisi ke-15 yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Ogos ini menjanjikan skala yang jauh lebih besar dan disifatkan sebagai satu evolusi mega.
Berlangsung di lokasi ikonik Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), AOS 2026 kali ini bakal menggunakan ruang pameran tertutup seluas 452,084 kaki persegi berserta kawasan luaran seluas 320 ekar. Di dalam kawasan luaran inilah bermulanya magis apabila tapak seluas 4 ekar dikhususkan semata-mata untuk SoundCircus Festival.
Pengarah Festival AOS Malaysia, Asep Ahmad Iskandar, mendedahkan bahawa untuk pertama kalinya dalam sejarah, festival ini bakal membawakan sehingga enam pentas berbeza secara serentak, baik di dalam mahupun di luar dewan, bagi menampung persembahan artis.
Enam pentas tersebut merangkumi Pentas SoundCircus, Pentas 16, Pentas Chaos, Sistem Bunyi Backdoor, Pentas AOS, dan Pentas Kartel.
“Pengenalan susun atur enam pentas pada 2026 ini mencerminkan komitmen kami untuk mengembangkan skala festival, sambil mengekalkan integriti dan kepelbagaian seni,” jelas Asep.
Beliau turut menyifatkan pengembangan ini sebagai satu peristiwa penting yang membuktikan pengaruh besar festival itu dalam litar hiburan live serantau, serta pemangkin kepada industri kreatif dan pelancongan Selangor melalui sokongan Tourism Selangor.

Selain skala yang dibesarkan, SoundCircus edisi 2026 tampil unik dengan mempertaruhkan gabungan pemuzik dari Malaysia, Indonesia, Singapura, dan juga Jepun. Setakat pengumuman Fasa 1 dan Fasa 2, lebih daripada 50 orang pemuzik daripada pelbagai latar belakang genre telah disahkan bakal menghangatkan MAEPS.
Antara konsep persembahan utama yang bakal menjadi tumpuan ialah Takhta Ratu Nusantara, sebuah kolaborasi istimewa yang menyatukan dua legenda rock dari Malaysia dan Indonesia — Cokelat dan Ella di atas satu pentas. Persembahan ini dijangka menjadi antara detik paling ikonik di festival hasil gabungan dua nama besar yang memiliki pengaruh tersendiri dalam dunia rock Nusantara.
Tidak ketinggalan, konsep Legends X Renegades turut mencuri perhatian apabila dua generasi rock tanah air, Jemson dan Def Gab C, bergabung untuk menghasilkan persembahan eksklusif yang hanya dapat disaksikan di SoundCircus 2026. Perpaduan tenaga dan identiti muzik mereka menjanjikan sebuah persembahan yang segar, penuh adrenalin, dan sarat nostalgia.
Konsep Power Pop Yeah Yeah pula mengetengahkan gabungan unik antara bapa dan anak, iaitu Couple dan Adnan Othman, yang akan berkongsi pentas buat pertama kali. Persembahan ini dijangka menghadirkan momen istimewa untuk peminat muzik dengan aura sentimental dan elemen pop yang menghiburkan.

Melengkapkan variasi persembahan adalah Dikir Kustom, sebuah suntikan segar muzik tradisional melalui gabungan Issey dan The Clique. Dibawakan dengan sentuhan moden berteraskan budaya ‘custom culture’, persembahan ini menawarkan sesuatu yang berlainan bagi penonton yang menghargai kreativiti serta penghormatan kepada muzik rakyat tempatan.
Tidak ketinggalan, barisan pemuzik hebat lain seperti Masdo, Nadin Amizah (Indonesia), Johnny Pandora (Jepun), Iqbal M., The Jansen (Indonesia), dan ramai lagi. Pihak penganjur juga bakal mengumumkan tambahan nama-nama hebat untuk barisan artis Fasa 3 tidak lama lagi.
Bagi anda yang tidak mahu melepaskan pengalaman epik ini, tiket kemasukan kini sedang rancak dijual dengan pelbagai pilihan kategori. Tiket kemasukan rasmi untuk pameran Art of Speed 2026 sahaja dijual pada harga berpatutan RM35.00.
Manakala bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan muzik, harga pas General Admission untuk SoundCircus Festival bermula dari RM89.00 hingga RM169.00. Terdapat juga pelbagai kategori tiket premium yang lain, serta penjualan secara Group Buy bagi mereka yang hadir berkumpulan. Pembelian tiket secara dalam talian boleh dibuat menerusi pautan rasmi festival.
