Khai Bahar Santuni Mahasiswa UKM, Kongsi Rezeki & Harap Cepat Bertemu Jodoh
- oleh Editor MYBUZZ
- 22 Feb 2026 8:00 am
BANGI – Penyanyi popular tanah air, Khai Bahar, telah mencuri tumpuan ramai apabila hadir memeriahkan Majlis Sinar Gemersik Ramadan: Iftar Jamai’e Bersama Khai Bahar yang berlansung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam.
Majlis bermakna anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi (PMFST) UKM dengan kerjasama strategik KhaiBahar Empire (KBE) ini dianjurkan bagi meraikan para pelajar, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara warga mahasiswa, pihak universiti, serta rakan industri. Secara khusus, penganjuran kali ini berjaya menyantuni seramai 30 orang pelajar yang kurang berkemampuan.
Khai Bahar memilih untuk mendekati dan berbuka puasa bersama golongan pelajar pada kali ini sebagai satu kelainan, di mana ia turut didorong kuat oleh pengalaman peribadinya yang pernah merasai situasi hidup kurang berkemampuan pada suatu ketika dahulu.

Selain daripada sesi berbuka puasa serta ramah mesra bersama para pelajar, majlis turut diserikan dengan pengisian kerohanian menerusi sesi tazkirah serta persembahan nyanyian oleh penyanyi itu. Kemeriahan majlis bertambah bermakna dengan agihan sumbangan berupa duit raya dan hamper sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pelajar.
Misi murni ini berjaya direalisasikan dengan sokongan penuh daripada KBE berserta rakan penaja iaitu jenama Nongshim dan Coco Cado, di mana Khai turut bertindak sebagai duta bagi kedua-dua jenama tersebut untuk tahun yang kedua.
Bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-32 penghujung Februari ini, pelantun suara emas itu sempat berkongsi impian peribadinya, di mana beliau sangat berharap agar segala projek yang telah dirancang sepanjang tahun ini berjalan lancar selain segera dikurniakan jodoh.

Saat ditebak mengenai persediaannya untuk menyambut Ramadan dan Syawal tanpa kehadiran kedua-dua insan tersayang sejak tiga tahun lalu, Khai menyifatkan bahawa tempoh tiga tahun itu sudah memadai untuk dirinya meratapi kesedihan.
Kini, beliau tekad bahawa sudah tiba masanya untuk bangkit berkongsi kebahagiaan, dengan sokongan padu daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat yang terus menjadi tulang belakang untuknya kekal positif. Bagi meneruskan proses penyembuhan diri, Khai mengambil pendekatan untuk banyak menyibukkan diri dengan tuntutan kerja serta perniagaan minyak wanginya.
Dalam perkembangan kerjaya seninya, peminat bakal disajikan dengan single terbaharu, sebuah lagu raya berjudul “Aku Rindu” yang akan dilancarkan pada bulan ini. Menurut Khai, karya terbaru itu terasa sangat dekat dengan jiwanya memandangkan ia berkisarkan mengenai kehilangan orang tersayang.
Selain bidang nyanyian, Khai juga dijadualkan bakal kembali ke set penggambaran untuk sebuah naskhah drama selepas sambutan hari raya, yang akan menjalani proses penggambaran di sekitar Kuala Kangsar dan Kuala Lumpur. Beliau juga akan kembali aktif melebarkan sayap perniagaan minyak wanginya dengan menyertai pelbagai siri festival jualan termasuk Absolute Fest di Kuala Lumpur, Brunei, dan Singapura.
Foto: Papadin
