Ikuti Kami:

Gabungan Irama Retro dan Jazz-Pop Indonesia Bakal Gegar Zepp KL Mei Ini

Gabungan Irama Retro dan Jazz-Pop Indonesia Bakal Gegar Zepp KL Mei Ini

KUALA LUMPUR – Peminat muzik yang merindui suasana retro dan alunan jazz-pop bakal disajikan dengan sebuah pengalaman muzikal yang istimewa menerusi konsert “Senandung Ria Di Kuala Lumpur”. Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2026 (Ahad) ini akan menampilkan dua kumpulan ikonik dari Indonesia, White Shoes & The Couples Company dan NonaRia, di pentas berprestij Zepp Kuala Lumpur.

Anjuran bersama ZS Entertainment dan LampuNeon Entertainment, konsert ini mengangkat tema utama nostalgia, keceriaan, dan romantika bandar. Menurut pihak penganjur, acara ini dibina sebagai sebuah pengalaman muzikal sinematik yang bertujuan membawa penonton mengembara kembali ke suasana klasik yang penuh emosi dan keanggunan estetika.

Gabungan Irama Retro dan Jazz-Pop Indonesia Bakal Gegar Zepp KL Mei Ini

“Kami mahu penonton merasai keindahan setiap melodi dan lirik, serta sejenak melupakan kesibukan harian untuk hanyut dalam perjalanan emosi bersama muzik,” jelas wakil penganjur mengenai objektif konsert tersebut yang turut mengajak penonton menghargai momen kecil dalam kehidupan.

Pemilihan White Shoes & The Couples Company (WSATCC) dan NonaRia didorong oleh keserasian identiti muzik mereka yang jarang dipertemukan dalam satu acara. WSATCC, yang ditubuhkan sejak 2002, cukup dikenali dengan susunan muzik sinematik yang sofistikated dan bunyi vintaj. Manakala NonaRia pula memikat peminat dengan gaya jazz dan swing “tempo dulu” yang diinspirasikan daripada era 1940-an hingga 1960-an.

Pihak penganjur menyifatkan gabungan ini sebagai unik dan eksklusif kerana kedua-dua kumpulan berkongsi “DNA muzik” yang seiring, berakar pada bunyi retro dan naratif romantik. Walaupun bakal beraksi di pentas berskala besar, kedua-dua kumpulan ini mempunyai keupayaan luar biasa untuk mencipta suasana persembahan yang intim dengan penonton.

Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, malah ia dianggap sebagai salah satu penampilan paling signifikan bagi kedua-dua kumpulan di Malaysia. Antara elemen eksklusif yang dirancang termasuklah:

• Susunan muzik khas yang hanya akan dipersembahkan di Kuala Lumpur.
• Visual berkonsepkan retro-sinematik.
• Aliran persembahan yang penuh penceritaan.
• Kemungkinan kolaborasi spontan antara kedua-dua kumpulan di atas pentas.

Pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi juga dibuat berdasarkan kemampuan teknikal dan akustiknya yang mantap, yang dijangka dapat menyokong konsep audio-visual konsert ini dengan sempurna.

Anggota WSATCC menyatakan rasa tidak sabar untuk kembali menemui peminat di ibu kota, sementara NonaRia menyifatkan konsert ini sebagai peluang terbaik untuk mencipta kenangan penuh keceriaan bersama penonton Malaysia.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan malam penuh romantika ini, berikut adalah kategori harga tiket yang ditawarkan:

• Standing: RM200
• Category 2 & 3: RM290
• VIP Box (1 Pax): RM450

Gabungan Irama Retro dan Jazz-Pop Indonesia Bakal Gegar Zepp KL Mei Ini

Maklumat lanjut mengenai saluran penjualan tiket akan diumumkan oleh pihak penganjur dalam masa terdekat. Pihak ZS Entertainment dan LampuNeon Entertainment menegaskan bahawa fokus utama mereka adalah untuk memastikan setiap penonton pulang dengan pengalaman yang eksklusif dan bermakna.

Loading...