Ikuti Kami:

Penyondol Suci? Naratif Berani Drama STEN Undang Amarah Netizen!

Penyondol Suci? Naratif Berani Drama STEN Undang Amarah Netizen!

KUALA LUMPUR – Drama rantaian terbaharu, Sujud Terakhir Encik Norman (STEN) terus menjadi buah mulut penonton dan mendapat perhatian dari satu episod ke satu episod. Mula ditayangkan pada 4 Februari lalu, karya terbaharu ini tampil berani apabila mengangkat topik hangat ‘penyondol’ dengan perspektif berbeza yang mencetuskan persoalan—betul ke tak semua penyondol itu jahat?

Kelainan ini dibawakan khas oleh pengarah terkenal Shahrul Ezad, atau lebih mesra disapa Budakijat. Khalayak sememangnya sudah lali dan sentiasa menantikan stail unik pengarah ini dalam menyajikan naskhah yang lari daripada klise drama televisyen tempatan.

Premis “tak semua penyondol jahat” ternyata memancing emosi dan membuahkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen di media sosial. Perdebatan ini memuncak menerusi dialog tular melibatkan adegan antara Aidil Aziz, Sharifah Sakinah, dan Trisha Ooi.

Penyondol Suci? Naratif Berani Drama STEN Undang Amarah Netizen!

Dalam babak tersebut, Trisha Ooi yang memegang watak penyondol bernama Alisa mempertahankan diri dengan menyatakan bahawa tidak semua penyondol dalam dunia ini berniat jahat. Terdapat naratif yang menyatakan wujudnya perasaan kasihan terhadap Norman kerana dia dirasakan tidak dihormati oleh isterinya yang terlalu obses dengan kejayaan dunia.

Walau bagaimanapun, jawapan sinis daripada isteri yang tersakiti iaitu Emma (lakonan Sharifah Sakinah) nyata mendapat perhatian ramai apabila dia membidas, “Kau guna alasan untuk halal niat kau dan sondol suami aku”.

Penyondol Suci? Naratif Berani Drama STEN Undang Amarah Netizen!

Netizen tidak melepaskan peluang untuk meluahkan sentimen mereka. Seorang penonton, Izz Aiddah Izzi, nyata kurang bersetuju dengan naratif alasan penyondol tersebut dengan mengkritik tajam jalan cerita drama itu.

“Sumpah la how dare org yg tulis skrip ni, Penyondol kene la fefeeling perfect supaya dicintai, bukan sebab kesian suami tak dihormati… Second how dare suami rasa dayus tapi tak nak lepaskan isteri sebab syg tapi kawin lain??? So tak masuk akal…” luahnya.

Turut mencuri tumpuan adalah komen bernada lucu namun ada benarnya daripada pengguna realmokhsz9 yang berseloroh, “Penyondol ni dh jd hantu pun tetap jahat knn 😂 nk menang sdri jugak”. Di sebalik kritikan, ramai juga yang memuji hasil kerja pengarah. Netizen seperti Nailofar Annuar menyifatkan cerita arahan beliau tidak pernah tidak menarik dan sentiasa istimewa.

Penyondol Suci? Naratif Berani Drama STEN Undang Amarah Netizen!

Bagi menjawab segala persoalan penonton, Budakijat sendiri menegaskan bahawa orang ramai perlu terus menonton kerana terdapat banyak kejutan dan pengajaran yang menanti dalam naskhah ini.

“Jika mahu tahu kena tonton kerana anda akan menemukan banyak kejutan dan pengajaran dalam naskhah ini,” ujar Budakijat.

Drama terbitan Radius One yang memaparkan 28 episod ini bukan sahaja sarat dengan konflik rumahtangga, tetapi turut mengangkat tema keagamaan, hubungan kekeluargaan, serta pengorbanan. Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti siri ini setiap hari Rabu dan Khamis menerusi slot DramaVaganza pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria. Anda juga boleh menstrim drama ini melalui aplikasi Astro GO dan Sooka.

Loading...