Ikuti Kami:

Kempen ‘Pesta Raya TVS’ Saji Dereten Program Hiburan Eksklusif Ramadan Hingga Syawal 2026

Kempen ‘Pesta Raya TVS’ Saji Dereten Program Hiburan Eksklusif Ramadan Hingga Syawal 2026

KUALA LUMPUR – Menjelang ketibaan bulan Syawal yang mulia, TV Sarawak (TVS) tampil menjanjikan kelainan dengan mempersembahkan rangkaian program televisyen istimewa menerusi kempen “Pesta Raya TVS”. Kempen ini merupakan satu inisiatif khas yang menghimpunkan pelbagai sajian hiburan, penceritaan berunsur inspirasi, dan kisah kekeluargaan untuk memeriahkan suasana perayaan pada tahun ini.

Dilancarkan baru-baru ini, inisiatif “Pesta Raya TVS” merangkumi pelbagai pengisian kandungan yang menarik. Penonton bakal disajikan dengan rancangan hiburan berskala besar, pelancaran lagu raya terbaharu, naskhah filem pendek, program gaya hidup, dan deretan tayangan filem istimewa yang akan menceriakan layar kaca dari bulan Ramadan sehinggalah ke bulan Syawal.

 

Kempen Pesta Raya TVS Saji Dereten Program Hiburan Eksklusif Ramadan Hingga Syawal 2026

Antara sorotan utama kempen kali ini pastinya program hiburan muzikal istimewa bertajuk “Pesta Raya TVS: Dari KL ke Kuching”. Program ini mengangkat konsep kemeriahan rumah terbuka Aidilfitri yang padat dengan muzik, gelak tawa, dan interaksi santai.

Dihoskan oleh gandingan mantap Ghazali Zawawi dan Sharifah Shahira, rancangan ini bakal diwarnai dengan persembahan artis popular tanah air seperti Aina Abdul, Marsha Milan, Bob Yusof, dan Khai Bahar.

 

Kempen Pesta Raya TVS Saji Dereten Program Hiburan Eksklusif Ramadan Hingga Syawal 2026

Lebih istimewa, program ini menghubungkan kemeriahan sambutan antara dua lokasi berbeza iaitu Kuala Lumpur dan Kuching, mencerminkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia. Penonton boleh menyaksikannya pada hari raya pertama dan kedua pada jam 9 malam.

TVS turut mengambil langkah kreatif dengan melancarkan lagu raya rasmi mereka yang berjudul “Raya Paling Epik”. Lagu berirama pop rancak ini menampilkan kolaborasi tiga penyanyi muda iaitu Daniesh Suffian, Mawat, dan Hanif Arip, di mana video muziknya telah pun mula ditayangkan sejak 27 Februari 2026 lalu.

 

Kempen Pesta Raya TVS Saji Dereten Program Hiburan Eksklusif Ramadan Hingga Syawal 2026

Bagi peminat drama, jangan lepaskan peluang menonton filem pendek bertemakan kekeluargaan, “Gambar Raya Paling Epik”. Naskhah yang menampilkan pelakon muda Atiq Azman di samping pelakon veteran berkaliber, Datuk Fauziah Nawi ini akan menemui penonton pada malam raya, jam 9 malam.

Selain segmen hiburan muzikal, kempen ini turut diperkukuhkan dengan rangkaian program menarik yang selari dengan suasana perayaan Aidilfitri. Antara program yang menjadi penyeri ialah majalah televisyen “Inspirasi Duniamu”, yang bakal menayangkan episod khas pra-Raya pada 18 Mac 2026, jam 10 malam. Episod ini menampilkan pelbagai kisah inspirasi masyarakat daripada seluruh negara, menjadikannya pilihan sesuai untuk tontonan menjelang Syawal.

Kempen Pesta Raya TVS Saji Dereten Program Hiburan Eksklusif Ramadan Hingga Syawal 2026

Kempen ini juga diserikan dengan rancangan fesyen dan kecantikan, “Istimewa Anggun: Seri Aidilfitri”, yang akan bersiaran pada 25 Mac 2026, jam 8.30 malam. Dihoskan oleh Siti Zawawi, program ini menawarkan panduan gaya, trend fesyen serta perkongsian selebriti yang mencerminkan keanggunan sambutan Raya.

Tidak ketinggalan, program bual santai popular “3 Mak Dara Musim 2” kembali menemui penonton dengan gandingan hos Raja Azura, Sharifah Shahora dan Rita Rudaini. Musim baharu ini akan mula ditayangkan pada 1 April 2026, setiap hari Rabu jam 8.30 malam, membawa perbincangan ringan tetapi sarat dengan pengalaman kehidupan dan kekeluargaan.

Kempen Pesta Raya TVS Saji Dereten Program Hiburan Eksklusif Ramadan Hingga Syawal 2026

Melengkapkan variasi kandungan, rancangan khas “Dialog TVS: Perayaan & Perpaduan” akan mengetengahkan perbincangan mengenai peranan sambutan perayaan dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Program ini dijadualkan tayangannya pada 26 Mac 2026, jam 10 malam, sebagai wadah memperkukuhkan semangat keharmonian nasional.

Tidak ketinggalan, TVS turut menyajikan deretan filem menarik seperti “Senario The Movie Ops Pocot” dan “Rompak Raya” pada setiap hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad jam 8.30 malam sepanjang musim perayaan ini. Penonton juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM800 dengan menyertai Peraduan Gambar Raya Paling Epik 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 29 Mac 2026.

Loading...