Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai 2026 Hangatkan Kota Samarahan, Sasarkan Lebih 300,000 Pengunjung
- oleh Editor MYBUZZ
- 30 Jul 2026 11:12 am
KUCHING, — Warga Sarawak bakal merasai kehangatan dan kemeriahan acara padang paling ikonik di Malaysia menerusi penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) Sarawak Segulai Sejalai 2026. Karnival yang memasuki edisi ke-23 ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Pekarangan Sebelah Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Sarawak. Acara ini terus mengekalkan pengiktirafan berprestij daripada The Malaysia Book Of Records sebagai *“Longest Running Outdoor Carnival”*. Berlandaskan konsep kekeluargaan dan kemasyarakatan, KJH bertujuan menjadi platform beriadah seisi keluarga yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti interaktif, pameran, serta hiburan pentas berkualiti tinggi.
Penganjuran KJH Sarawak Segulai Sejalai 2026 kali ini dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP). Menerusi kolaborasi ini, orang ramai berpeluang berinteraksi secara terus dengan pelbagai agensi di bawah naungan MTCP menerusi pameran inisiatif tempatan dan aktiviti kebudayaan. Selain itu, pelbagai reruai usahawan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) serta jenama ternama tempatan dan antarabangsa seperti CelcomDigi, KWSP, GRAB (yang menawarkan kod diskaun e-hailing khas), Ayam Dindings, Pawada, GPR Cookies, dan Weststar Maxus turut menyediakan promosi eksklusif serta pelbagai cenderamata menarik.
Sepanjang tiga hari acara, pengunjung disajikan dengan kepelbagaian aktiviti meriah seperti Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, Zumba Challenge, Kids Colouring Contest, dan Jom Lokal Jam. Bagi aspek kesihatan, pemeriksaan kesihatan dan gigi secara percuma turut disediakan untuk kemudahan awam, manakala pesta makanan Love Food Fest menghimpunkan pelbagai vendor makanan tempatan dan hidangan viral. Suasana karnival turut disemarakkan lagi dengan kemunculan personaliti Media Prima seperti Shafiq Adnan, Afrina Romzi, Fahiz Ariff, Fadzly Fuad, Hanif Miswan, Haniff (Hot FM), dan Kieran (KoolFM), bersama barisan pelakon serta selebriti tanah air antaranya Ariana Yusof, Cristina Suzanne, Chacha Maembong, Cahaya Nilam, Irfan Zaini, Nasuha Sulaiman, dan Zairi Aziz.

Istimewa pada penganjuran kali ini, New Straits Times Press (NSTP) membawakan kelainan menerusi reruai interaktif *Dunia Kreatif NSTP*. Reruai ini mengandungi gabungan literasi media, seni interaktif, dan e-sukan. Pengunjung, terutamanya golongan kanak-kanak dan ibu bapa, boleh menyertai Pertandingan Mewarna, Sesi Seni Kraf & Origami berasaskan bahan kitar semula, serta Ruang Permainan Konsol digital. Pengunjung juga berpeluang mengabadikan kenangan di *Photobooth Muka Depan NSTP* untuk menjadi “headline” berita harian lengkap dengan cetakan foto segera.
Bagi penggemar aktiviti gaya hidup sihat, acara larian Jom Heboh Fun Run kembali buat kali kedua dengan penambahan kategori 5KM dan 8KM. Buat julung kalinya, para peserta yang menamatkan larian akan membawa pulang finisher medal eksklusif, jersi rasmi, bib, tote bag, dan barang cenderamata. Pakej Keluarga khusus bagi kategori 5KM turut diperkenalkan untuk empat pendaftaran pada kadar istimewa, selain pelbagai hadiah cabutan bertuah dan penyertaan artis terkenal seperti Aepul Roza, Fiq Halim, dan Aweera.

Kemuncak penganjuran karnival dirancakkan menerusi Konsert Jom Heboh selama dua malam berturut-turut. Malam pertama pada Sabtu, 1 Ogos 2026 bakal menampilkan persembahan bertenaga daripada Haiza Hanafi, Mariam Saim, Aepul Roza, Fiq Halim, Aweera, dan band rock Kristal X. Pentas penutup pada malam Ahad, 2 Ogos 2026 pula bakal dimeriahkan oleh Baby Shima, Wany Hasrita, K.O.I, Syamel, dan Marsha Milan. Pihak penganjur menyasarkan kehadiran purata melebihi 300,000 pengunjung dan menjemput orang ramai berkongsi moment menarik menggunakan hashtag rasmi #JomHeboh, #KarnivalJomHeboh, dan #KJHSarawak.
