Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi Berlangsung Di Melaka Mulai 31 Julai Ini
- oleh Editor MYBUZZ
- 30 Jul 2026 10:58 am
MELAKA — Orang ramai di sekitar Zon Tengah dipelawa untuk memeriahkan Karnival Jelajah Dasar Peluang Kebankrapan/Insolvensi 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 31 Julai sehingga 2 Ogos di Mydin MITC, Melaka.
Karnival anjuran Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) ini direka khusus bagi memperkukuh pelaksanaan Dasar Peluang Kedua Insolvensi, sekali gus memberi ruang serta peluang baharu kepada individu yang berdepan masalah kewangan untuk membina semula kehidupan mereka.
Majlis perasmian program bertema “Peluang Kedua, Harapan Baharu” ini disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada hari pertama penganjuran.

Berlangsung seawal jam 10.00 pagi hingga 12.00 malam, karnival ini menawarkan pelbagai perkhidmatan utama termasuk khidmat nasihat kewangan dan kebankrapan terus daripada pegawai Jabatan Insolvensi Malaysia, yang merangkumi semakan status serta penerangan terperinci mengenai proses pelepasan. Selain program kesedaran literasi pengurusan hutang dan pameran interaktif pelbagai agensi kerajaan serta rakan strategik, orang ramai turut berpeluang menyertai sesi lelongan awam bagi aset, kenderaan, dan hartanah yang ditawarkan pada harga permulaan serendah RM10. Bagi meringankan beban kos sara hidup, Jualan Rahmah oleh KPDNKK dan Jualan Murah Shopee turut diadakan, di samping pelbagai aktiviti komuniti mesra keluarga seperti pesta makanan, pertandingan rakyat, serta cabutan bertuah bagi memeriahkan lagi suasana.
Bagi memeriahkan suasana malam, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan barisan artis ternama tanah air selama tiga malam berturut-turut seperti Dato’ Hattan, Tomok, Baby Shima, Azlan Typewriter, dan ramai lagi.
Penganjuran jelajah ini diharapkan dapat mendekatkan perkhidmatan MdI kepada masyarakat, meningkatkan literasi pengurusan kewangan, serta mengikis stigma negatif terhadap individu yang pernah berdepan kemelut kebankrapan.







