Ikuti Kami:

K.O.I Cipta Sejarah Tersendiri, Ungguli Pentas AJL40 Menerusi ‘Tiwikarma’

K.O.I Cipta Sejarah Tersendiri, Ungguli Pentas AJL40 Menerusi ‘Tiwikarma’

KUALA LUMPUR – Kumpulan K.O.I melakar sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul gelaran juara Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang bersiaran secara langsung dari Unifi Arena, Bukit Jalil pada malam tadi.

Mempertaruhkan karya hebat berjudul Tiwikarma, persembahan K.O.I yang disifatkan penuh dramatik dan teatrikal itu berjaya menambat hati barisan juri profesional, sekali gus menepati ramalan awal penonton.

Kemenangan penuh bermakna menerusi lagu ciptaan Zai Hamzah dan Hemo Globin itu melayakkan K.O.I bersama barisan penulis lirik—Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana, dan Sapik Sam—membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM100,000 berserta trofi kebanggaan.

K.O.I Cipta Sejarah Tersendiri, Ungguli Pentas AJL40 Menerusi 'Tiwikarma'  K.O.I Cipta Sejarah Tersendiri, Ungguli Pentas AJL40 Menerusi 'Tiwikarma'

Aisha Retno & Ryenald Guntabid Ekori Rapat

Pentas kemuncak AJL40 yang dihoskan oleh gandingan mantap Naz Rahman dan Sissy Imann itu menyaksikan persaingan sengit antara 10 lagu finalis. Kesemua persembahan diadili oleh barisan juri profesional yang diketuai oleh pengarah muzik ternama, Datuk Acis.

Kedudukan naib juara menjadi milik penyanyi serba boleh, Aisha Retno menerusi lagu Tak Adil hasil ciptaannya sendiri bersama Radi, sekali gus membaw pulang hadiah kemenangan wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Sementara itu, penyanyi berbakat dari Sabah, Ryenald Guntabid membuktikan taringnya apabila menduduki tempat ketiga menerusi karya ciptaan sepenuhnya, Lumangad Oku Dika, dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.

K.O.I Cipta Sejarah Tersendiri, Ungguli Pentas AJL40 Menerusi 'Tiwikarma'

Marsha Milan Kuasai Vokal, Aina Abdul Terbang Ke Pentas Asia

Persaingan bagi kategori sampingan turut berlangsung hangat apabila penyanyi berkuasa vokal tinggi, Marsha Milan dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik menerusi persembahan memukau lagu Tangisan Seorang Pendosa, membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta trofi.

Bintang sensasi Aina Abdul pula terus mencuri perhatian apabila merangkul trofi Persembahan Terbaik menerusi lagu Kamu (RM12,000) selain membawa pulang Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee bernilai RM50,000.

Lebih membanggakan, kecemerlangan Aina pada malam tersebut diserikan dengan pengumuman khas bahawa beliau bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026.

Sebagai pelengkap acara edisi jubli zamrud ini, pada awal Julai lalu didalam majlis berasingan, pihak penganjur telah turut menyampaikan pengiktirafan khas iaitu Anugerah Ikon AJL40 kepada dua figura terkenal tanah air, Faizal Tahir dan Hael Husaini, atas sumbangan serta impak besar mereka dalam industri muzik tempatan.

Keputusan Penuh Pemenang AJL40

  • Juara AJL40: Tiwikarma – K.O.I (Komposer: Zai Hamzah & Hemo Globin | Lirik: Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana, Sapik Sam) — RM100,000 & Trofi
  • Naib Juara: Tak Adil – Aisha Retno (Komposer/Lirik: Aisha Retno & Radi) — RM50,000 & Trofi
  • Tempat Ketiga: Lumangad Oku Dika – Ryenald Guntabid (Komposer/Lirik: Ryenald Guntabid) — RM30,000 & Trofi
  • Vokal Terbaik: Marsha Milan (Tangisan Seorang Pendosa) — RM12,000 & Trofi
  • Persembahan Terbaik: Aina Abdul (Kamu) — RM12,000 & Trofi
  • Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee: Aina Abdul — RM50,000
Loading...