Histeria 12 Jam di Bukit Jalil: Latihan Pestapora Malaysia 2026 Suburkan Jambatan Muzik Rentas Sempadan
- oleh Editor MYBUZZ
- 17 Aug 2026 11:56 am
KUALA LUMPUR — Kehangatan dan gema muzik serantau bergema tanpa henti di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil apabila edisi kedua Latihan Pestapora Malaysia 2026 melabuhkan tirainya secara gilang-gemilang. Acara anjuran bersama Hitman Solutions dan Boss Creator yang berlangsung selama 12 jam pada 15 Ogos itu berjaya menghimpunkan ribuan peminat muzik tempatan dan Indonesia dalam satu perayaan budaya berskala besar.
Pertunjukan edisi kali ini menampilkan keunikan luar biasa menerusi penglibatan 19 tenaga kreatif merentasi pelbagai era dan genre — daripada pop, rock, indie, ska, R&B sehinggalah irama nostalgia. Antara detik utama yang mencuri tumpuan ialah kemunculan sulung band pop-punk alternatif Indonesia, Last Child, di bumi Malaysia. Sorakan dan nyanyian bersama ‘sing-along’ penonton ketika lagu-lagu hits seperti “Duka”, “Seluruh Nafas Ini”, dan “Sekuat Hatimu” didendangkan menjadi bukti kukuh betapa kukuhnya penerimaan karya seberang di hati peminat tempatan.
Tidak sekadar persembahan solo, tirai festival turut dihangatkan dengan tiga gabungan kolaborasi eksklusif yang direka khas untuk edisi ini. Pentas menjadi saksi penyatuan julung kali antara ikon dangdut Rhoma Irama Soneta bersama Maliq & D’Essentials, gandingan bertenaga Nadhif Basalamah, Aziz Harun dan Aisha Retno, serta aksi penuh bertenaga Masdo yang berentap bersama Gerhana Skacinta. Pengalaman muzik turut dimeriahkan dengan deretan nama besar lain seperti Tulus, Mahalini, Ruffedge, Bernadya, Lah Ahmad, Juicy Luicy, Insomniacks, FUGŌ, Romantic Echoes, serta Disko Santan & Friends.
Mengulas mengenai impak penganjuran, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, En. Rohit Rampal, menegaskan komitmen pihaknya untuk membolehkan festival ini berkembang seiring dengan aspirasi peminat dan penggiat seni. Beliau meluahkan rasa hargai atas sokongan ramai dan berharap kerjasama strategik bersama Boss Creator terus membuka ruang serta peluang baharu bagi memperkasakan hubungan seni kedua-dua negara.
Senada dengan itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, En. Keeran D, menjelaskan bahawa pihak penyelenggara sentiasa mendengar suara pengunjung dengan mengambil kira maklum balas edisi terdahulu demi penambahbaikan yang berterusan. Bagi beliau, perjalanan festival bermula seawal penonton menjejakkan kaki ke ruang acara hinggalah ke tirai penutup. Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora merangkap Pengasas Bersama Boss Creator, En. Kiki Ucup, menyifatkan sokongan hangat penonton Malaysia sebagai jambatan kukuh yang bukan sahaja membawa artis Indonesia ke sini, malah memangkinkan pendedahan artis Malaysia kepada ekosistem muzik Indonesia.
Di samping hiburan di pentas utama, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti gaya hidup, termasuk pilihan kulinari daripada lebih 20 vendor makanan dan minuman, ruang bergambar interaktif, serta pelbagai zon pengalaman menarik di Universal Music Corner (Music is Universal). Penganjuran mega ini mendapat sokongan Visit Malaysia 2026 dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia, Sunway Putra Hotel, Malaysia Airlines, D’Mart Travel & Tours, Warrior, serta rangkaian rakan media dan radio terkemuka.














