Ikuti Kami:

Hussain Tepati Ramalan, Dominasi Pentas Akhir Big Stage Rocketfuel!

Hussain Tepati Ramalan, Dominasi Pentas Akhir Big Stage Rocketfuel!

SHAH ALAM: Menepati ramalan ramai, bintang muda yang sedang meningkat naik, Hussain, akhirnya berjaya mendominasi pentas dan dinobatkan sebagai juara rancangan realiti Big Stage Rocketfuel bagi konsert minggu kelapan yang juga merupakan pentas akhir yang berlansung malam tadi di Auditorium MBSA Shah Alam.

Kemenangan mutlak itu sekali gus melayakkan penyanyi berbakat besar ini membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai RM30,000, sebuah trofi, dan sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment. Lebih manis lagi, Hussain turut menerima peruntukan pengurusan kerjaya serta pemasaran single bernilai RM100,000 yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat rakaman tersebut.

Pada malam kemuncak yang mengangkat tema ‘Overdrive’ itu, Hussain membuktikan vokalnya berada di kelas tersendiri apabila berjaya meraih markah keseluruhan tertinggi sebanyak 80.97 peratus. Kemenangan ini turut disokong kuat oleh peminatnya apabila dia mencatatkan peratusan undian dalam talian tertinggi iaitu sebanyak 22.52 peratus.

Hussain Tepati Ramalan, Dominasi Pentas Akhir Big Stage Rocketfuel!

Air mata, perjuangan dan kemenangan, Hussain tutup tirai Big Stage Rocketfuel dengan bergaya.

 

Persembahan bertenaga Hussain menerusi tugasan pertama dengan lagu Seniman Menangis 2 nyanyian asal Dato’ Jamal Abdillah, serta lagu Merisik Khabar (Dato’ Sudirman Hj Arshad) bagi pusingan ‘Battle’, ternyata berjaya memukau barisan juri. Sebagai pelengkap malam kemenangannya, Hussain turut mendebutkan single baharunya yang berjudul Takkan Pernah, hasil ciptaan komposer Ahmed Faez dan Johan John.

Sementara itu, memberikan saingan sengit di tempat kedua adalah duo Adam & Nazmie yang meraih markah keseluruhan sebanyak 61.55 peratus. Naib juara ini berjaya memenangi wang tunai RM20,000, sebuah trofi, single baharu, serta peruntukan pengurusan kerjaya bernilai RM50,000 tajaan Rocketfuel Entertainment.

Hussain Tepati Ramalan, Dominasi Pentas Akhir Big Stage Rocketfuel!

Seniman Menangis’ bawa tuah, Hussain dinobatkan Juara Big Stage Rocketfuel.

 

Penyanyi wanita, Ranisha pula terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga dengan kutipan markah sebanyak 60.69 peratus. Namun begitu, Ranisha tidak pulang tangan kosong apabila turut dianugerahkan wang tunai RM10,000, sebuah single, peruntukan pengurusan sebanyak RM50,000, dan sebuah trofi.

Bagi peserta lain, Danny yang mengutip 57.09 peratus dan Yad-Z dengan 54.97 peratus, masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima. Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah sagu hati berupa wang tunai RM5,000 berserta trofi. Manakala, Danial Kifli yang meraih 53.37 peratus menamatkan cabaran di tempat keenam, sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000 dan trofi.

Konsert kemuncak penuh debaran ini telah diadili oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Hael Husaini, Aisha Retno, dan Akim Ahmad, serta diserikan dengan kehadiran juri jemputan berbisa, Dato’ Ramli MS.

Loading...