Ikuti Kami:

Radja Tak Jadi Beraksi Di Kuala Lumpur, Penganjur Umum Pembatalan Konsert

Radja Tak Jadi Beraksi Di Kuala Lumpur, Penganjur Umum Pembatalan Konsert

KUALA LUMPUR – Hasrat peminat untuk melihat kumpulan popular dari seberang, Radja, beraksi di ibu kota tidak kesampaian apabila Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang dijadualkan berlangsung pada 19 September 2026 terpaksa dibatalkan secara rasmi.

Acara berskala besar yang sepatutnya menggegarkan Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu diumumkan batal oleh pihak penganjur, DHYAH PRODUCTION dengan kerjasama INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES menerusi satu kenyataan media hari ini.

Kendala Teknikal Jadi Punca Utama

Menurut pihak penganjur, keputusan drastik dan berat itu terpaksa diambil selepas mengambil kira kendala teknikal dalaman serta keadaan semasa yang tidak mengizinkan konsert tersebut diteruskan mengikut perancangan asal.

Wakil Penganjur DHYAH PRODUCTION, Mahbub Dermawan, meluahkan rasa kesal atas situasi yang berlaku dan tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak yang terlibat, termasuklah peminat, penaja dan pengurusan Radja.

“Kami memahami kekecewaan para peminat yang telah menantikan kehadiran Radja di Kuala Lumpur. Keputusan ini dibuat dengan penuh berat hati dan setelah mengambil kira pelbagai aspek berkaitan penganjuran.  Kami amat menghargai segala sokongan dan kefahaman yang telah diberikan,” katanya.

Proses Pemulangan Wang (Refund) Tiket

Bagi memastikan hak pembeli terpelihara, pihak penganjur menegaskan bahawa semua pembeli tiket akan dihubungi menerusi e-mel bagi memaklumkan proses pemulangan wang (refund). Proses pemulangan wang tersebut boleh dibuat melalui platform penjualan tiket rasmi iaitu myticket.asia.

Justeru, pembeli tiket dinasihatkan untuk sentiasa menyemak e-mel masing-masing, di samping menyimpan bukti pembelian serta maklumat transaksi yang sah bagi memastikan kelancaran proses menuntut semula wang mereka.

Pihak DHYAH PRODUCTION dan INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak di atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang perancangan konsert berkenaan.

Loading...