Ikuti Kami:

Ismail Izzani Taruh ‘ONE ON ONE’, Bukti Evolusi Muzik Lebih Matang Menuju Album Baharu

Ismail Izzani Taruh ‘ONE ON ONE’, Bukti Evolusi Muzik Lebih Matang Menuju Album Baharu

KUALA LUMPUR – Selepas beberapa tahun meneroka pelbagai warna dan variasi muzik demi mengukuhkan posisinya dalam industri seni tempatan, penyanyi dan penulis lagu prolifik, Ismail Izzani, kini bersedia membuka lembaran baharu menerusi single terbaharunya berjudul ONE ON ONE.

Lebih menarik, buah tangan terbitan Universal Music Malaysia ini bukan sekadar single biasa, sebaliknya ia bertindak sebagai pemula jalan dan bayangan awal kepada album penuh Ismail yang dijadualkan bakal menemui peminat pada tahun ini juga.

Ismail Izzani Taruh ‘ONE ON ONE’, Bukti Evolusi Muzik Lebih Matang Menuju Album Baharu

Sisi Cinta Yang Sederhana & Bermakna

Membawa kisah cinta yang ringkas namun sarat dengan mesej mendalam, ONE ON ONE menceritakan tentang keinginan seseorang untuk meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang tanpa sebarang gangguan daripada dunia luar.

Berkongsi lanjut mengenai tema berkenaan, Ismail, 26, menyifatkan naskhah ini sebagai sebuah karya yang sangat terus terang.

“Lagu ini sangat straightforward. Ia tentang seseorang yang kita benar-benar sayang dan bagaimana kita hanya mahu meluangkan masa bersamanya, walaupun hanya untuk seketika.Bila bersama orang itu, rasa macam dunia berhenti sekejap dan hanya tinggal kita berdua,” kata Ismail.

Ismail Izzani Taruh ‘ONE ON ONE’, Bukti Evolusi Muzik Lebih Matang Menuju Album Baharu

Chemistry Organik Bersama ALYPH

Meninjau proses kreatif di sebalik tabir, lagu ini sekali lagi menyaksikan kolaborasi mantap antara Ismail dan penyanyi serta penerbit terkenal, ALYPH. Bagaimanapun, Ismail mendedahkan proses rakaman kali ini dirasakan jauh lebih istimewa dan intim.

Jelasnya, hubungan akrab yang terbina di luar studio banyak membantu melancarkan sesi brainstorming sehinggakan terlahirnya karya yang jujur.

“Setiap kali masuk studio dengan ALYPH, kami bukan hanya berbual tentang muzik. Kami banyak berkongsi cerita tentang kehidupan dan perkara-perkara peribadi. Hubungan yang rapat itu menjadikan proses menghasilkan lagu lebih mudah dan jujur,” kongsinya lagi.

Enggan Dibanding Dengan ‘Bidadari’

Meskipun ada segelintir pihak yang mula meramalkan single ini bakal mengembalikan semula aura zaman kegemilangan lagu hit awalnya seperti Bidadari, Ismail menegaskan fokus utamanya kali ini adalah untuk menonjolkan identiti muzik yang telah berevolusi.

“Saya tak mahu orang membandingkan lagu ini dengan karya-karya saya sebelum ini. Setiap lagu mempunyai cerita dan tempatnya yang tersendiri.

“Bagi saya, ONE ON ONE adalah permulaan kepada fasa baharu. Ia memberi gambaran tentang vibe dan arah muzik yang saya ingin bawakan menerusi album akan datang,” ulasnya yang menyifatkan lagu ini mempunyai nilai sentimental tersendiri selaku trek pertama yang dipilih untuk projek album penuh tersebut.

Tampil dengan pakej diri yang lebih matang serta semangat membara, Ismail berharap agar peminat dapat menerima fasa evolusinya ini dengan hati terbuka. ONE ON ONE kini sudah boleh didengar dan distrim di semua platform penstriman digital utama.

Loading...