Ikonik & Interaktif: THE GUNDAM BASE Malaysia Jadi Tarikan Baharu Bukit Bintang
- oleh Editor MYBUZZ
- 15 Apr 2026 12:07 pm
KUALA LUMPUR – Berita baik buat peminat tegar francais ikonik Gundam di Malaysia! Syurga membeli-belah Bukit Bintang kini menampilkan tarikan terbaharu dengan pembukaan kedai rasmi utama pertama di negara ini, THE GUNDAM BASE Malaysia, yang didedikasikan sepenuhnya untuk Gundam dan model plastik Gunpla.
Cawangan berprestij yang terletak di fahrenheit88 ini direalisasikan menerusi kerjasama antara Bandai Namco Asia dan pengedar tempatan, Litt Tak Sdn. Bhd. Ia bukan sekadar pusat jualan runcit biasa, malah menawarkan pameran interaktif yang mengasyikkan, pengalaman membina model secara langsung, serta deretan koleksi model eksklusif dan edisi terhad.

Melangkah sahaja ke pintu masuk, peminat pasti terpegun apabila disambut oleh replika wira RX-78-2 Gundam setinggi 1.8 meter yang tampil gagah dengan warna eksklusif THE GUNDAM BASE yang menawan. Pihak pengurusan turut menyediakan sebuah ruang foto khas yang dilatari pelan reka bentuk mobile suit ikonik, memberikan peluang bergambar yang epik buat pengunjung.
Menurut Pengarah Eksekutif Litt Tak, Tan Ee Chian, pembukaan kedai ini menandakan satu pencapaian penting bagi komuniti peminat Gundam tempatan yang sangat mantap dan penuh semangat.
“THE GUNDAM BASE Malaysia menyediakan hab khusus untuk peminatnya di mana mereka boleh mendapatkan produk asli, akses kepada keluaran eksklusif dan berhubung dengan rakan peminat yang lain. Ruang bengkel pula menjadi medan komuniti yang direka untuk merangsang kreativiti, pembelajaran dan mencipta pengalaman bersama bagi peminat lama dan baharu,” ujar beliau.

Bagi merangsang kreativiti dan ketelitian seni pembuatan model ini, bengkel membina Gunpla secara interaktif akan dijalankan setiap hari bermula 20 April 2026. Sesi ini terbahagi kepada dua waktu iaitu dari jam 12 tengah hari hingga 3 petang, dan jam 5 petang hingga 8 malam. Peminat juga boleh mendapatkan pelbagai model plastik Gundam mengikut kesesuaian kemahiran masing-masing, dari pilihan Entry Grade (EG) sehinggalah ke Perfect Grade (PG).
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif fahrenheit88, Dato’ Joyce Yap menyambut baik kehadiran THE GUNDAM BASE Malaysia dengan menyatakan bahawa ia menambah tarikan baharu yang tersendiri kepada landskap pelancongan dan gaya hidup Bukit Bintang yang meriah.
Lebih mengujakan, sempena pembukaan rasmi THE GUNDAM BASE Malaysia ini, terdapat empat model istimewa yang dilancarkan buat pertama kalinya di pasaran tempatan:
Kedai konsep ini disifatkan mampu menawarkan pengalaman budaya pop yang menyeluruh buat pengunjung tempatan dan antarabangsa.Orang ramai yang ingin merasai sendiri pengalaman ke dunia Gunpla boleh mengunjungi THE GUNDAM BASE Malaysia di Tingkat Dua, fahrenheit88 yang beroperasi pada jam 10 pagi hingga 10 malam pada setiap hari.




