Ikuti Kami:

Nadiah Hamzah Pertaruh Romantik Komedi ‘Kata Hati’, Saji Kisah ‘Modern Fairy Tale’ Versi Tempatan

Nadiah Hamzah Pertaruh Romantik Komedi ‘Kata Hati’, Saji Kisah ‘Modern Fairy Tale’ Versi Tempatan

(Kiri- kanan)  Pengarah dan  barisan tunggak utama filem romantik komedi ‘Kata Hati’, Nadiah Hamzah, Fazziq Muqris, Nia Atasha dan Yusof Hashim sewaktu Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan Wayangworks dan Filmscape semalam.

 

KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan yang kini banyak didominasi oleh genre aksi dan seram bakal disajikan dengan sebuah karya segar yang lebih santai. Naskhah terbaharu berjudul Kata Hati mempertaruhkan genre romantik komedi, mengangkat kisah ‘cinta dua darjat’ era moden antara seorang pelakon wanita popular dengan pemandu e-hailing.

Diarahkan oleh sutradara berbakat, Nadiah Hamzah, filem terbitan bersama Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn Bhd ini disifatkan sebagai sebuah kisah dongeng moden (modern fairy tale) tempatan. Sesi memperkenalkan barisan penerbit, pengarah serta barisan pelakon filem itu berlansung semalam sewaktu Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan di The Flint, Kota Damansara.

Penerbit Eksekutif Kata Hati, Juliana Foo, menjelaskan bahawa filem ini hadir tepat pada masanya untuk mengubati kerinduan penonton terhadap naskhah cinta yang ringan namun sarat dengan momen indah serta elemen romantik berisiko tinggi (high-stakes romance).

Nadiah Hamzah Pertaruh Romantik Komedi Kata Hati, Saji Kisah 'Modern Fairy Tale' Versi Tempatan

Namun, Kata Hati bukan sekadar naskhah komedi romantik biasa. Penerbitnya, Muhammad Bahir mendedahkan bahawa penceritaan ini turut mengupas realiti sebenar kehidupan selebriti yang sering disembunyikan daripada lensa kamera dan peminat.

“Idea menghasilkan Kata Hati muncul apabila sepanjang bekerja dalam industri ini, kami berpeluang bertemu ramai selebriti dan tertarik melihat perbezaan antara persona yang mereka tunjuk di depan kamera dengan kehidupan sebenar,” jelas Muhammad Bahir.

Bagi menterjemahkan kisah ini ke layar, Kata Hati mempertaruhkan gandingan pelakon muda yang sedang meningkat naik, disokong oleh barisan pelakon berpengalaman bagi menguatkan lagi penceritaan.

Nadiah Hamzah Pertaruh Romantik Komedi Kata Hati, Saji Kisah 'Modern Fairy Tale' Versi Tempatan

Teraju utama filem ini menampilkan Nia Atasha yang menggalas watak pelakon jelita, Ayra Natasha. Beliau digandingkan bersama Yusof Hashim sebagai Imran Firdaus, seorang pemandu e‑hailing, serta Fazziq Muqris yang membawa watak Zayn Mikhail.

Filem ini turut dimeriahkan dengan barisan pelakon pembantu berprofil tinggi, antaranya Scha Alyahya yang membawakan watak pengurus Ayra, selain Taqim Zaki dan Norreen Iman yang turut menyumbang lakonan berkesan.

Nadiah Hamzah Pertaruh Romantik Komedi Kata Hati, Saji Kisah 'Modern Fairy Tale' Versi Tempatan

Kata Hati mengisahkan Ayra Natasha (Nia Atasha), seorang pelakon wanita yang sedang mencipta nama dan menjadi tumpuan ramai, lebih-lebih lagi selepas kemunculan sulungnya dalam sebuah filem aksi berskala besar bersama kekasihnya yang juga pelakon terkenal, Zayn Mikhail (Fazziq Muqris).

Namun, di sebalik kemilauan dunia glamor yang dilalui, kehidupan Ayra mula goyah apabila satu insiden memalukan tular dan disaksikan seluruh negara pada malam pencalonan sebuah anugerah berprestij, sekali gus meretakkan kesempurnaan hidup yang disangkanya utuh.

Nadiah Hamzah Pertaruh Romantik Komedi Kata Hati, Saji Kisah 'Modern Fairy Tale' Versi Tempatan

Dalam kekecohan malam yang sama, Ayra bertembung dengan Imran Firdaus (Yusof Hashim), seorang pemandu e-hailing yang langsung tidak terkesan dengan hiruk-pikuk dunia selebriti. Keadaan menjadi lebih rumit apabila sekeping gambar mereka tersebar dan menjadi perbualan hangat.

Demi meredakan situasi, Maya (Scha Alyahya), kakak yang juga merangkap pengurus Ayra, mengatur satu rancangan dengan meminta Imran bersetuju untuk menjadi pemandu peribadi Ayra sepanjang 25 hari tempoh penggambaran.

Daripada pertemuan yang tidak dirancang itu, perlahan-lahan timbul bibit-bibit perasaan antara Ayra dan Imran. Buat pertama kali, Ayra merasai keikhlasan apabila dirinya dihargai seadanya sebagai manusia, bukan sebagai selebriti atau watak yang sering dibawanya di layar.

Nadiah Hamzah Pertaruh Romantik Komedi Kata Hati, Saji Kisah 'Modern Fairy Tale' Versi Tempatan

Namun, Ayra berdepan dilema besar sama ada memilih cinta tulus yang hadir penuh kejujuran bersama Imran, atau meneruskan hubungan dengan Zayn yang menjanjikan kemasyhuran, kestabilan dan masa depan yang terjamin.

Menariknya, penonton juga bakal dikejutkan dengan penampilan istimewa beberapa cameo istimewa daripada pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Shweta Sekhon, Aziz M. Osman, Adriana Adnan, Bella Rahim dan Ceddy Ang, sekali gus menambah nilai eksklusif kepada naskhah ini.

Meskipun mempertaruhkan barisan pendatang baharu menerusi sesi ujibakat, Nadiah Hamzah memuji komitmen tinggi dan kesungguhan lakonan mantap yang diberikan oleh Nia, Yusof, dan Fazziq.

Bagi Nadiah sendiri, naskhah ini merupakan satu peralihan selepas beliau mengarahkan karya yang lebih berat seperti ‘Motif’ sebelum ini. Beliau berharap ‘Kata Hati’ mampu menyentuh emosi penonton, mencetuskan tawa, air mata, dan mengingatkan kembali tentang kemanisan dalam percintaan.Terdahulu, filem ini telah menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan pada Ogos 2025. Kata Hati dijadualkan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026.

Loading...