Hubungan Timor Leste-Malaysia Diperkukuh: AeroDili Lancar Penerbangan Sulung ke Kuala Lumpur
- oleh Editor MYBUZZ
- 28 Mar 2026 10:50 am
SEPANG – Rangkaian udara serantau Malaysia kini semakin berkembang dengan ketibaan penerbangan sulung syarikat penerbangan AeroDili (8G) dari Dili, Timor Leste, yang selamat mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.15 pagi tadi.
Penerbangan bersejarah ini merupakan perkhidmatan terus pertama yang menghubungkan kedua-dua buah negara, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh jalinan ekonomi dan pertukaran pelancongan antara Malaysia dan Timor Leste.
Majlis sambutan ketibaan telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Surendren Sathasiven, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Turut hadir meraikan acara tersebut adalah wakil pengurusan kanan daripada Tourism Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), dan pihak pengurusan AeroDili Airlines.
Perkhidmatan baharu ini dikendalikan menggunakan pesawat Airbus A319-100 yang mampu memuatkan seramai 122 penumpang. Bagi memberikan kemudahan kepada pelancong riadah dan perniagaan, AeroDili akan beroperasi dengan kekerapan dua kali seminggu, beroperasi setiap Selasa dan Sabtu. Jadual Ketibaan pula (8G921)akan mendarat di KLIA Terminal 2 pada jam 11.15 pagi manakala Jadual Pelepasan (8G922) akan berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 12.00 tengah hari.
Ketua Pegawai Eksekutif AeroDili, Encik Lourenço de Oliveira, menyifatkan Kuala Lumpur sebagai hab serantau yang kritikal bagi memperluas rangkaian antarabangsa mereka. Beliau turut berharap kerjasama erat dengan Tourism Malaysia dapat menyumbang kepada momentum Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Langkah ini juga selaras dengan strategi Tourism Malaysia untuk meluaskan akses perjalanan dari pasaran sedang pesat membangun. Selain menarik lebih ramai pelawat global, inisiatif ini bertujuan mempamerkan keunikan budaya dan keindahan alam semula jadi Malaysia yang mampan dan dinamik. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif pelancongan negara, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Tourism Malaysia di www.tourism.gov.my.
