PETRA Perkasakan Inovasi Air Melalui NAHRIM: Sekuriti Air Negara Jadi Keutamaan
- oleh Editor MYBUZZ
- 29 Mar 2026 1:21 pm
PUTRAJAYA – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kini mengorak langkah proaktif dalam memastikan sekuriti air negara sentiasa terpelihara menerusi pemerkasaan teknologi dan inovasi saintifik. Komitmen ini dizahirkan melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang memfokuskan kepada penyelesaian isu air secara langsung demi kesejahteraan rakyat.
Inisiatif strategik ini selaras dengan Agenda Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) dan dilaksanakan menerusi projek penyelidikan berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Bagi menangani kerugian sosio-ekonomi akibat bencana banjir, PETRA telah menubuhkan Pasukan Forensik Banjir Malaysia (FORBIM) sejak akhir 2025. Pasukan perintis di Kuala Lumpur kini giat menjalankan siasatan berasaskan bukti saintifik untuk mengenal pasti punca sebenar banjir serta menilai kapasiti infrastruktur sedia ada bagi merangka strategi tebatan yang lebih inovatif.
Beberapa produk inovasi tempatan turut dibangunkan untuk mengurangkan impak banjir kepada komuniti, antaranya PETRAN Tembok Penahan Banjir Automatik dan PETRAN Dinding Tebatan Banjir Mudah Alih.Selain itu, pendekatan berasaskan semula jadi seperti takungan dasar sungai dan kolam takungan pelbagai fungsi turut diperkasakan.
Menyedari risiko gangguan bekalan akibat pencemaran sungai dan kemarau, NAHRIM kini giat meneroka sumber air alternatif. Ini termasuklah pelaksanaan pemetaan sumber air tanah di seluruh negara dan penyelidikan teknologi penyahgaraman (disalinasi) air laut, terutamanya bagi kegunaan komuniti di pulau terpencil. Satu pencapaian membanggakan adalah pengkomersialan produk minuman daripada air hujan terawat yang dikenali sebagai PETRAN RAINDROPS dan CLOUDRAIN yang kini sedia untuk pasaran.
Bagi menangani ancaman bahan cemar baharu dan mikroplastik, Makmal Kualiti Air (MKA) NAHRIM kini berfungsi sebagai Makmal Forensik Pencemaran Air. Makmal ini dilengkapi teknologi penjujukan genom mikrobiologi yang mampu menganalisis sehingga 200 parameter. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) turut diperkenalkan melalui sistem AIR3S (Artificial Intelligence of River Rating Ranking for Safety, Suitability and Sustainability).Sistem ini membolehkan pemantauan masa nyata dan tindakan mitigasi pantas diambil sebelum pencemaran menjadi kritikal.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, menegaskan inisiatif untuk mewujudkan Hab Air Kebangsaan. Hab ini bertujuan mengintegrasikan penyelidikan dan inovasi bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pengurusan air serantau menjelang tahun 2040.
“Kajian penyelidikan akan terus diperkasa berasaskan pembuktian saintifik bagi memacu inovasi air negara selaras dengan aspirasi MADANI,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Langkah ini membuktikan dedikasi PETRA dan NAHRIM dalam mengatasi cabaran pengurusan air masa hadapan sekali gus menjamin kelangsungan sumber air yang mampan untuk seluruh rakyat Malaysia.
