Ikuti Kami:

Filem Pemuja Syaitan Arahan Liyana Jasmay Bakal Menguji Keberanian Penonton Mulai 15 Oktober 

Filem Pemuja Syaitan Arahan Liyana Jasmay Bakal Menguji Keberanian Penonton Mulai 15 Oktober 

KUALA LUMPUR— Industri perfileman tempatan bakal dihangatkan lagi dengan kemunculan filem seram terbaharu bertajuk Pemuja Syaitan arahan pengarah berkaliber, Liyana Jasmay.

Foto barisan pelakon filem Pemuja Syaitan

Majlis pelancaran rasmi yang diadakan baru-baru ini menyaksikan pendedahan barisan pelakon utama, poster rasmi serta tayangan eksklusif teaser trailer, sekali gus memberikan gambaran awal mengenai atmosfera gelap dan penceritaan penuh ketegangan yang dibawakan dalam naskhah ini.

Filem diterbitkan oleh Mermaid Studios bersama Suraya Filem Production & Distribution ini menampilkan barisan pelakon popular merentasi pelbagai generasi seperti Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar, dan Aila Azizul. Turut memperkukuhkan penceritaan ialah barisan pelakon pembantu termasuk Rosdeen Subuh, Dee Al Hadi, Yusuf Amin, Atoi Tohet, Selena Jasmay, Marsha Biddulph, Hakim Khan, Nat Aaliyah, Aida Amron, Ellyza Azizi, dan Dhabita Auji.

Pemuja Syaitan mengisahkan tentang sekumpulan bekas rakan sekolah yang kembali berhimpun di sebuah pulau terpencil untuk mengimbau nostalgia lama. Walau bagaimanapun, suasana bertukar menjadi igauan ngeri selepas mereka menggali semula sebuah kapsul masa yang ditanam bertahun-tahun dahulu, lalu merungkai pelbagai rahsia gelap dan pengkhianatan masa lalu. Situasi semakin meruncing apabila penemuan enam mayat, seorang mangsa hilang, dan seorang lagi mengalami trauma mendalam mencetuskan siasatan misteri yang mendedahkan kewujudan entiti atau kuasa yang jauh lebih menyeramkan di pulau berkenaan.

Liyana Jasmay menjelaskan bahawa filem ini tidak sekadar bergantung kepada elemen kejutan (jump scare) semata-mata, sebaliknya memberi penekanan mendalam terhadap sisi gelap sifat manusia, rahsia yang tersimpan, serta konflik pengkhianatan apabila berdepan trauma silam. Beliau berharap pendekatan tersendiri dalam membina suspen dan ketegangan watak dapat memberikan pengalaman menonton yang mendebarkan buat para peminat genre seram.

Diiringi klasifikasi P18 dengan durasi 97 minit, Pemuja Syaitan diedarkan secara rasmi oleh SKOP Productions Sdn Bhd dengan sokongan Primeworks Studios selaku Rakan Pemasaran. Filem yang dinantikan ramai ini dijadualkan menemui penonton di rangkaian pawagam seluruh negara bermula 15 Oktober 2026.

Loading...