Ikuti Kami:

Festival Filem Malaysia-China Ke-3 Kembali Pertaruh 7 Karya Hebat Dua Negara

Festival Filem Malaysia-China Ke-3 Kembali Pertaruh 7 Karya Hebat Dua Negara

Festival Filem Malaysia-China Ke-3 rasmi dibuka di GSC Mid Valley Megamall. (Kiri-kanan) Sutradara Hong Kong, Ko Chi Sum, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Aron Koh Kang Boon,  Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib dan Ketua Bahagian Pameran GSC, Pan Vui Shang.

 

KUALA LUMPUR – Penggemar sinema serantau pastinya teruja apabila Festival Filem Malaysia-China Ke-3 kini kembali membuka tirainya secara rasmi di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur. Acara berprestij ini bukan sahaja menjanjikan hiburan visual, malah terus mengukuhkan peranan asalnya sebagai platform utama kerjasama industri perfileman dan budaya antara Malaysia dan China.

Berlangsung pada 26 hingga 28 Jun serta 3 hingga 5 Julai 2026, Festival Filem Malaysia-China edisi kali ini menghidangkan tujuh karya pilihan terbaik dari kedua-dua negara. Naskhah yang dibawakan merangkumi kepelbagaian genre yang pastinya menepati cita rasa ramai, termasuklah thriller, komedi, animasi, drama sejarah, dan juga fantasi.

Majlis pembukaan yang gilang-gemilang Festival Filem Malaysia-China Ke-3 itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Aron Koh Kang Boon serta Ketua Bahagian Pameran GSC, Pan Vui Shang.

Menyifatkan filem sebagai jambatan yang menghubungkan pelbagai latar belakang masyarakat, Dato’ Azmir menegaskan bahawa naskhah perfileman mampu merapatkan budaya menerusi perkongsian cerita. Tambah beliau, pasaran tempatan juga menunjukkan potensi besar untuk menembusi peringkat antarabangsa, terbukti apabila 10 filem berbahasa Mandarin dan Kantonis telah pun menemui penonton di pawagam tempatan sepanjang tahun ini. FINAS juga komited untuk terus menyokong pembangunan bakat baharu serta menggalakkan kerjasama rentas sempadan.

 

 

Festival Filem Malaysia-China Ke-3 Kembali Pertaruh 7 Karya Hebat Dua Negara

(Kiri-kanan) Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Aron Koh Kang Boon bersama Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib

 

Menyentuh soal kelangsungan pasaran perfileman tempatan, Aron Koh Kang Boon menyatakan bahawa dengan populasi Malaysia sekitar 33 juta penduduk, langkah penerbitan bersama atau co-production dengan negara luar adalah satu keperluan kritikal untuk filem kita melangkah lebih jauh ke pentas global. Usaha ini turut dirancakkan dengan sokongan padu kerajaan yang menawarkan insentif rebat penggambaran sehingga 30 peratus, menjadikan Malaysia destinasi pelaburan filem yang cukup kompetitif.

Lebih menarik, revolusi teknologi terkini turut mengambil tempat dalam festival ini apabila Aron mendedahkan tentang projek filem Perang Zombi. Naskhah produksi bersama Malaysia-China yang dijangka tayang pada suku ketiga tahun ini merupakan antara karya yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara meluas. Projek ini menggabungkan kepakaran teknologi dari China bersama sentuhan kreatif bakat Malaysia.

Sungguhpun begitu, beliau menepis stigma bahawa pembikinan berteraskan AI adalah satu jalan pintas. Pembikinan 10 minit kandungan visual menggunakan AI menuntut masa lebih enam bulan untuk disiapkan, membuktikan bahawa sentuhan manusia masih kekal sebagai nadi utama dan teknologi sekadar bertindak sebagai alat bantu proses kreatif.

Festival Filem Malaysia-China Ke-3 Kembali Pertaruh 7 Karya Hebat Dua Negara

Pelakon asal Malaysia, Yuan Teng (kiri) turut menempa nama menjadi salah seorang pelakon yang membintangi filem antarabangsa Kungfu Juniors arahan sutradara Hong Kong, Ko Chi Sum

 

Kemuncak festival kali ini dimulakan dengan tayangan filem Kungfu Juniors arahan sutradara Hong Kong, Ko Chi Sum. Naskhah yang menampilkan bintang lagenda Sammo Hung, Michelle Yim, Chu Mimi, Peng Chiquan, dan pelakon kebanggaan Malaysia, Yuan Teng ini sudah pun melakar sejarah tersendiri.

Sebelum ini, Kungfu Juniors telah dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Cina Toronto 2025, selain merangkul pelbagai anugerah di Festival Filem Asia Pasifik dan Festival Filem Bahasa Cina Vancouver.

Bagi melengkapkan senarai tayangan, penonton turut berpeluang menyaksikan filem tempatan hebat seperti Indera dan House Keeping. Tidak ketinggalan, naskhah dari China yang membariskan Boonie Bears: Guardian Code, Successor, Dead to Rights, serta A Writer’s Odyssey 2 turut mendominasi jadual tayangan.

Bagi pencinta filem yang ingin merasai sendiri kehebatan sinematografi dua negara ini, anda boleh menyaksikan kesemua naskhah ini pada tarikh yang ditetapkan di GSC Mid Valley Megamall. Menariknya, tiket tayangan dijual pada harga istimewa, hanya RM15 sahaja!

Loading...