Ikuti Kami:

Kerajaan Perkenal Hari Bekerja Hibrid Dalam Perkhidmatan Awam Mulai 1 Ogos 2026

Kerajaan Perkenal Hari Bekerja Hibrid Dalam Perkhidmatan Awam Mulai 1 Ogos 2026

Perlaksanaan sistem Hari Berkerja Hibrid (HBH) bakal  menggantikan aturan Bekerja Dari Rumah (BDR), dijangka akan meningkatkan fleksibiliti tanpa menjejaskan perkhidmatan.

 

PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI semalam telah memperkenalkan satu langkah proaktif dalam usaha memodenkan sektor awam dengan melaksanakan Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma baharu dalam Perkhidmatan Awam, yang mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026.

Inisiatif terbaharu yang mendapat kelulusan Jemaah Menteri ini bertujuan menyediakan pengaturan kerja yang lebih fleksibel untuk penjawat awam, namun ditegaskan ia langsung tidak akan mengurangkan jumlah waktu bekerja sedia ada.

Menerusi pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid, kakitangan awam diberikan kelonggaran untuk bekerja selama dua hari di rumah (BDR) atau di mana-mana lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan masing-masing. Manakala baki tiga hari lagi, mereka diwajibkan untuk hadir bertugas secara fizikal di pejabat. Sungguhpun begitu, kelonggaran ini masih tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi tugas, serta syarat ketat yang ditetapkan.

Bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan berjalan dengan lancar, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut menetapkan hari kehadiran wajib ke pejabat berdasarkan perbezaan cuti mingguan di setiap negeri.

Kerajaan Perkenal Hari Bekerja Hibrid Dalam Perkhidmatan Awam Mulai 1 Ogos 2026

Perlaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH)  bakal jadi norma baharu, dimana penjawat awam bekerja 2 hari dari rumah, 3 hari di pejabat.- Infografik janaan AI

 

Bagi negeri-negeri yang mengamalkan cuti mingguan pada hari Ahad, kakitangan diwajibkan hadir secara fizikal ke pejabat pada hari Isnin dan Jumaat. Penetapan ini bertujuan memastikan kesinambungan operasi di awal dan penghujung minggu kerja.

Manakala bagi negeri-negeri yang cuti mingguannya jatuh pada hari Jumaat seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, kakitangan pula diwajibkan hadir ke pejabat pada hari Ahad dan Khamis. Susunan ini disesuaikan dengan struktur minggu bekerja di negeri-negeri tersebut bagi memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kekal terjamin.

Meskipun sistem hibrid ini dilaksanakan secara meluas, kerajaan memberi jaminan penuh bahawa penyampaian perkhidmatan penting (essential services) kepada masyarakat tidak akan terganggu. Perkhidmatan bahagian kaunter serta fungsi kerja yang menuntut kehadiran fizikal akan terus beroperasi sepenuhnya seperti biasa. Sektor kritikal seperti keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan, dan institusi mahkamah dikecualikan daripada kelonggaran ini demi memastikan urusan rakyat kekal lancar.

Langkah reformasi berterusan ini mempamerkan kesungguhan kerajaan dalam mematangkan amalan kerja berorientasikan hasil dengan memanfaatkan sepenuhnya kecanggihan teknologi digital. Sistem pemantauan yang rapi akan digerakkan secara berterusan bagi memastikan aspek integriti, prestasi kerja, dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat kekal berada pada tahap yang paling optimum.

Malaysia bukanlah negara pertama yang mengorak langkah ini, malah kaedah pengurusan kerja secara hibrid ini telah pun dipraktikkan dengan jayanya di beberapa buah negara maju seperti Singapura, Australia, Finland, dan Sweden.

Pelaksanaan HBH ini secara rasmi akan menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) Konflik Asia Barat yang sedang berkuat kuasa ketika ini. Pihak JPA dijadualkan mengeluarkan garis panduan lengkap serta syarat terperinci mengenai pelaksanaan inisiatif ini dalam masa terdekat untuk rujukan semua kementerian dan agensi terlibat.

Loading...