Azalina Rasmi Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua: Usaha Beri Nafas Baharu Buat Individu Bankrap
- oleh Editor MYBUZZ
- 26 Jun 2026 7:19 pm
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, hari ini secara rasmi telah melancarkan Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi yang bertempat di tapak parkir Presint 3, Putrajaya.
Karnival tahunan ini merupakan inisiatif strategik kerajaan untuk mendekati rakyat di peringkat negeri bagi meningkatkan kesedaran mengenai Dasar Peluang Kedua yang menawarkan pelepasan daripada status kebankrapan. Program ini bertujuan membolehkan lebih ramai individu berhubung terus dengan Jabatan Insolvensi bagi mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat lanjut.

Foto (kiri) Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, YBhg. Dato’ Ishak bin Bakri menyampaikan cenderamata kepada (foto kanan) YB Dato’ Sri Azalina Othman Said
Salah satu tarikan utama karnival kali ini adalah Lelongan Kebangsaan yang melibatkan pelbagai harta di bawah pengurusan Jabatan Insolvensi untuk dilepaskan kepada orang awam. Antara aset yang mencuri tumpuan termasuklah kenderaan mewah, barangan elektronik, malah aset yang unik seperti helikopter dan pulau.
Azalina dalam tinjauannya sempat menarik perhatian mengenai harga aset yang ditawarkan yang disifatkan sebagai mampu milik dan kompetitif. Beliau memberikan contoh sebuah kereta Bentley yang dilelong pada harga RM400,000, sambil memberi jaminan bahawa aset-aset tersebut, termasuk kenderaan, berada dalam keadaan yang boleh digunakan.
Selain itu, senarai barangan yang dilelong turut merangkumi Kenderaan berat seperti Lori dan pelbagai jenis motosikal, Harta Alih seperti Barangan elektronik dan pelbagai peralatan lain dan Aset Strategik iaitu merupakan Sebuah pulau yang terletak di Sabah turut tersenarai dalam portfolio lelongan jabatan.
Menurut beliau lagi, kerajaan komited untuk memperluaskan capaian program ini dengan merancang sebanyak enam siri jelajah di seluruh negara pada tahun ini. Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat mendapat akses kepada peluang kedua, sekali gus membantu mereka menyumbang semula kepada ekonomi negara.
Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 yang berlangsung pada 26 hingga 28 Jun 2026 di Tapak Parkir Presint 3, Putrajaya (belakang Istana Kehakiman) bukan sahaja menjadi platform transaksi aset, tetapi juga sebagai jambatan untuk rakyat memahami proses pelepasan insolvensi dengan lebih telus dan mudah. Orang ramai dijemput hadir ke siri jelajah kali ini dan seterusnya untuk memanfaatkan peluang yang disediakan serta melihat sendiri barangan yang ditawarkan dalam sesi lelongan terbuka.
