Hampir 200 Hidangan Tradisi Selatan ‘Gegar’ Bangi: Festival Warisan Selera Selatan 2026 Kembali Lebih Meriah
- oleh Editor MYBUZZ
- 26 Jun 2026 2:35 pm
BANDAR BARU BANGI– Selepas mencatatkan kejayaan luar biasa dengan kehadiran lebih 12,000 pengunjung pada edisi tahun lalu, Festival Warisan Selera kini kembali untuk edisi kedua dengan skala yang lebih besar. Memfokuskan kepada keunikan kulinari dari tiga negeri selatan tanah air—Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan—festival ini bermatlamat memartabatkan khazanah makanan tradisi negara agar terus dihargai generasi baharu.
Bertemakan “Rasa Asli Menu Tradisi, Kini Di Bangi Lagi”, acara yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 28 Jun 2026 bertempat di Evo Mall, Bandar Baru Bangi. Penganjuran kali ini menyasarkan kehadiran lebih 15,000 pengunjung sepanjang tempoh festival yang bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall, Zetty Rahim, berkata festival kali ini menghimpunkan lebih 25 vendor makanan ikonik yang membawakan hampir 200 variasi hidangan warisan serta resipi turun-temurun.

“Antara tarikan utama termasuklah Mee Rebus Haji Wahid dari Johor, Induk Salai dari Negeri Sembilan, serta Asam Pedas Melaka yang cukup sinonim dengan keaslian rasa tempatan,” jelas beliau. Selain itu, pengunjung berpeluang menikmati menu nostalgia yang semakin sukar ditemui seperti Burasak, Lemang Periuk Kera, Rendang Maman Warisan, Apam Johol, dan Kuih Sopang.

Bukan sekadar pesta makan, Festival Warisan Selera Selatan 2026 (FWSS 2026) turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga. Antaranya termasuklah demo masakan menu warisan, pertandingan memasak “Variasi Rasa 3 Negeri”, serta persembahan kebudayaan tradisional seperti Zapin dan Kuda Kepang.

Suasana festival turut diserikan dengan kehadiran barisan artis dan personaliti popular tanah air seperti Siti Nordiana, Naqiu Boboy, Haziq Rosebi, dan Nizam Jentik-Jentik. Sebagai tanda penghargaan, pihak penganjur turut menyediakan agihan 200 hidangan warisan secara percuma serta cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir.

Foto: (Foto Tengah) Puan Zetty Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall dan wakil penganjur bersama melancarkan Festival Warisan Selera Selatan 2026
FWSS 2026 dianjurkan oleh Evo Mall dengan pengurusan oleh A.M.A Infinity Solution. Penganjuran ini mendapat sokongan padu daripada rakan strategik seperti Tourism Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), dan TEKUN Nasional.
Festival ini juga disokong oleh barisan penaja utama termasuk Flerr Air Freshener, Adabi Malaysia, dan Sara Anna, yang bersama-sama menyumbang dalam merealisasikan usaha memperkukuh pelancongan budaya dan gastronomi negara.
Meneroka Selera Utaran kulinari ini tidak terhenti di sini. Pihak penganjur telah merancang untuk meneruskan siri jelajah rasa ini menerusi Festival Warisan Selera Utara 2027 pada tahun hadapan bagi meneroka pula kepelbagaian sajian tradisi dari negeri-negeri di utara tanah air.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke Evo Mall bagi merasai sendiri pengalaman kulinari yang unik ini dan bersama-sama menyokong usahawan makanan tempatan.








