Dari Pendekar Ke Pegawai CID, ‘Gayong 2’ Sedia Rungkai Sindiket Jenayah & Rasuah
- oleh Editor MYBUZZ
- 5 Apr 2026 4:07 pm
PETALING JAYA – Kisah perjuangan Pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) kini diteruskan dalam naskhah sekuel yang paling dinanti-nantikan, Gayong 2. Lebih gelap, mencabar dan mendalam, filem terbitan SOL Pictures Sdn. Bhd. ini menjanjikan kelainan epik yang pasti membuatkan penonton tidak senang duduk.
Malam gala tayangan filem Gayong 2 berlansung pada 1 April lalu di TGV Cinemas, One Utama dan telah dihadiri oleh barisan pelakon dan pengarah filem ini serta para peminat filem melayu. Lebih menarik, malam gala ini turut di hadiri oleh perwakilan Persatuan Seni Silat Gayong seluruh Malaysia.
Bagi yang menyangka naskhah ini hanya akan berkisar tentang silat semata-mata, anda silap! Gayong 2 membawakan satu ‘cedokan’ eksklusif yang cukup mendebarkan apabila ia menyelusuri fasa kehidupan ADMAR yang berkhidmat sebagai pegawai Criminal Investigation Department (CID) di bawah pentadbiran pasukan polis British di Singapura, sejurus selepas era Perang Dunia Kedua.

Menurut Penerbit Eksekutifnya, Khairul Anuar Latip, filem ini membawa penonton melihat perjalanan ADMAR menelusuri fasa hidup yang cukup gelap apabila beliau memilih untuk menentang kejahatan terus dari dalam sebuah sistem yang rosak.
Watak pahlawan itu, yang masih diterajui dengan cemerlang oleh aktor prolifik Beto Kusyairy, bakal berhadapan dengan konflik moral dan tekanan emosi apabila menemui rangkaian rasuah yang didalangi oleh pegawai atasannya sendiri, SP Malcom (lakonan Bobby Tonelli). Tidak cukup dengan itu, ancaman di jalanan pula digerakkan oleh ketua kongsi gelap, Lee Khoon (Rabbit Chen) yang bebas menguasai perjudian dan penyeludupan candu kerana mendapat perlindungan daripada pihak polis.
“Ia bukan dokumentari, tetapi sebuah karya yang mengangkat konflik kuasa dan tekanan emosi yang wujud dalam dunia sebenar ketika itu,” jelas Khairul Anuar, yang menegaskan bahawa naskhah ini akan menguji prinsip hidup seseorang apabila kebenaran bertukar menjadi satu ancaman.

Sementara itu, pengarah berkaliber, Faisal Ishak, mengulas lanjut bahawa naratif kali ini mengangkat isu berat seperti gangsterisme, rasuah, dan penyalahgunaan kuasa, namun teras ceritanya tetap utuh berpaksi pada kisah pengorbanan seorang lelaki yang tersepit di antara maruah diri dan keselamatan keluarganya.
“Kalau dalam filem pertama lebih menjurus kepada memperkenalkan dunia dan semangat persilatan, Gayong 2 pula menyelami harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan keperibadian dan harga diri. Ia bukan sekadar aksi, tetapi tentang identiti dan maruah,” kongsi Faisal.
Beliau turut menyimpan harapan tinggi agar filem yang sarat dengan emosi ini mampu membuatkan penonton merenung kembali pilihan hidup mereka, di samping pulang dengan semangat kebanggaan terhadap warisan dan akar budaya bangsa.

Mengekalkan bintang-bintang kelas A seperti Nabila Huda, Syafie Naswip, Fauzie Laily, dan Hanna Aqeela, filem ini turut melakar sejarahnya yang tersendiri. Gayong 2 bakal menyaksikan penampilan sulung Miss Malaysia 2024, Sandra Lim di layar perak yang membawakan watak Jade dalam sebuah naskhah epik Melayu.
Lebih mengujakan buat peminat genre aksi, koreografi pertarungan naskhah yang telah menjalani penggambaran 100 peratus di sekitar Ipoh, Perak ini mendapat sentuhan berbisanya daripada Pengarah Aksi terkemuka Nusantara, Yayan Ruhian! Saksikan pertembungan epik perjuangan harga diri, kebenaran, dan pengkhianatan dalam Gayong 2 yang bakal menggegarkan pawagam di seluruh negara bermula 9 April 2026.
