Astro Umum Talk To My Manager Musim 2 Dengan Penyertaan Lebih Ramai Selebriti
- oleh Editor MYBUZZ
- 5 Apr 2026 5:05 pm
KUALA LUMPUR – Selepas mencetuskan fenomena tersendiri pada musim pertama, program realiti yang mengangkat sisi pengurusan bakat, Talk To My Manager (TTMM), kini kembali untuk musim kedua. Astro secara rasmi mengumumkan kepulangan program ikonik ini yang menjanjikan pengisian lebih padat, cabaran lebih kompetitif, dan yang paling penting, penyertaan barisan selebriti yang lebih ramai dan meluas.
Bakal bersiaran mulai 19 April 2026, setiap Ahad jam 9 malam, TTMM Musim 2 dilihat sebagai langkah berani Astro dalam meraikan legasi seni sambil mencungkil bakat generasi baharu melalui pendekatan yang cukup unik.
Majlis sidang media pengumuman barisan ‘manager-artist’ serta penaja utama untuk TTMM Musim ke 2 berlansung pada Jumaat lalu di Menara Ken TTDI, Kuala Lumpur. Program Talk To My Manager Musim 2 dilihat menghimpunkan deretan nama terkenal tanah air yang pastinya mencuri tumpuan penonton.
Antara gandingan yang bakal menyerikan pentas musim ini termasuk Adira bersama Anggrek, Ani Maiyuni dan Viviana, Dato’ A. Aida dengan Azeva, Dato’ Fazley bergandingan bersama Fariedz Fazley, serta Dato’ Sri Vida dan anak perempuannya, Cik B. Turut menyertai musim ini ialah pasangan Jamilulhayat dan Hussain, Linda Jasmine bersama Ratu, Nana Mahazan dan Althea, Pak Azad dengan Amarra, serta Safura dan Kim Khairii.

Musim kedua ini turut menyaksikan kembalinya Datuk Aznil Hj Nawawi sebagai pengacara utama yang terus mengemudi program dengan gaya tersendiri. Beliau akan digandingkan dengan barisan juri tetap, Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal, yang sekali lagi membawa kepakaran, panduan serta karisma mereka dalam menilai persembahan, sekaligus memeriahkan perjalanan pertandingan sepanjang musim baharu ini.
Apa yang membezakan musim ini dengan sebelumnya adalah penganjuran Kem TTMM. Ia merupakan sebuah kem latihan khas yang diwujudkan bertujuan untuk memupuk bakat baharu dalam industri hiburan.
Melalui inisiatif ini, peserta bukan sahaja diuji di atas pentas, malah mereka akan melalui proses persediaan yang rapi merangkumi latihan vokal, kelas tarian, dan aspek pengurusan diri di bawah bimbingan pengurus serta mentor berpengalaman.
Pengenalan kem ini adalah bagi memastikan kualiti setiap bintang yang dilahirkan mampu bertahan lama dalam industri, sekali gus menjadikan TTMM sebagai destinasi utama bagi “Bintang Masa Hadapan”.
Selain elemen persaingan, TTMM Musim 2 juga akan memberi tumpuan kepada kisah-kisah di sebalik tabir yang menyentuh emosi. Penonton akan dibawa menyelami hubungan di antara artis dan pengurus mereka—satu ikatan yang jarang dipaparkan secara terbuka namun penuh dengan nilai kekeluargaan dan pengorbanan.
Gabungan elemen hiburan berkualiti dan drama realiti yang jujur ini dipercayai menjadi tunjang utama mengapa program ini semakin mendapat tempat di hati peminat kandungan tempatan.
GALERI
Bagi peminat yang ingin melihat dengan lebih dekat proses “pembikinan” seseorang bintang, musim ini turut menyediakan kompilasi sorotan persediaan peserta menjelang konsert mingguan. Klip-klip sedutan di belakang tabir ini akan memaparkan segala jerih perih latihan serta strategi susunan persembahan yang dirangka oleh pasukan pengurusan masing-masing.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Eskayvie sebagai penaja utama, yang berkongsi visi yang sama dalam memperkasakan komuniti dan masa depan yang lebih cerah.
Jangan lupa temujanji anda dengan Talk To My Manager Musim 2 di saluran Astro Ria atau strim menerusi Astro GO dan sooka. Adakah pengurus anda bersedia untuk menobatkan juara baharu? Sama-sama kita nantikan!










