Beli-Belah Sambil Beramal, Yayasan HABIB Anjur ShareRity Bazaar 2026 1 Ogos Ini
- oleh Editor MYBUZZ
- 25 Jul 2026 11:18 am
AMPANG – Yayasan HABIB, sebuah yayasan di bawah naungan Kumpulan HABIB, berbangga untuk membawakan kembali ShareRity Bazaar, sebuah acara komuniti yang menyatukan orang ramai demi menyokong inisiatif amal dan kebajikan.
Bazar sehari itu bakal berlangsung di HARTA Space, Ampang Point pada 1 Ogos 2026, bermula seawal jam 10 pagi hingga 8 malam.
Menariknya, bazar ini menawarkan pelbagai pilihan barangan pra-milik (preloved) terpilih, di samping produk daripada jenama terkemuka seperti HABIB, Chantique, Pandora, dan Time Zone (termasuk Ice Watch serta Komono).
Segala hasil jualan yang diraih daripada ShareRity Bazaar ini akan disalurkan seratus peratus kepada Yayasan HABIB, sekali gus membolehkan para pengunjung memberi sokongan bermakna sambil berbelanja.
Pengunjung juga bakal disajikan dengan pelbagai aktiviti meriah yang sesuai untuk seisi keluarga sepanjang hari, termasuklah sesi lelongan awam (live auction), permainan mesin cakar (claw machine), dan juga aktiviti lukisan wajah (face painting) untuk kanak-kanak.
Lebih daripada sekadar satu destinasi membeli-belah, ShareRity Bazaar bermatlamat untuk mengeratkan hubungan antara keluarga, rakan-rakan, kakitangan Kumpulan HABIB, serta komuniti setempat. Acara ini membuka ruang di mana setiap individu berpeluang memainkan peranan masing-masing dalam menabur bakti kepada masyarakat.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2008, Yayasan HABIB berpegang teguh kepada falsafah bahawa impak yang positif dan berkekalan datang daripada usaha memperkasakan individu, dan bukannya sekadar memberi bantuan jangka pendek.
Fokus yayasan ini dipacu oleh tiga teras utama iaitu Seni, Pendidikan, dan Keprihatinan Komuniti. Pendekatan holistik ini telah berjaya diterjemahkan melalui pelbagai program yang memberi harapan dan peluang baharu kepada kelompok yang memerlukan.
Sebagai bukti komitmen tersebut, Yayasan HABIB sebelum ini telah melaksanakan beberapa projek komuniti berimpak tinggi, antaranya penajaan enam unit Rumah Transit Hospital Kuala Lumpur (HKL) di PPR Desa Rejang, Setapak.
Di bawah teras pendidikan pula, mereka menaja Kelas Tuisyen SPM yang merangkumi subjek teras (Sejarah, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, dan Pendidikan Moral), selain Kelas 3M (Membaca, Mengira, Menulis) untuk pelajar di Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi dan Asrama Bahagia Kuala Lumpur.
Bagi memupuk kemahiran hidup yang mampan untuk masa depan, Yayasan HABIB turut menganjurkan Kelas Kemahiran Gunting Rambut dan Kelas Seni Mempertahankan Diri (Silat) di Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi, serta Kelas Memasak untuk penghuni Asrama Bahagia Kuala Lumpur. Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Yayasan HABIB ShareRity Bazaar dan menjadi sebahagian daripada satu hari yang cukup bermakna. Setiap pembelian di sini akan menyumbang kepada inisiatif berterusan yayasan.
Sama ada hadir dengan niat membeli-belah untuk amal, menikmati pelbagai aktiviti bersama insan tersayang, atau sekadar membantu menguar-uarkan tentang bazar ini di media sosial, setiap bentuk sokongan memainkan peranan penting dalam memacu objektif murni yayasan.
Untuk perkembangan serta pengumuman terkini mengenai acara ini, orang ramai boleh melayari dan mengikuti laman Instagram rasmi Yayasan HABIB di @yayasanhabibofficial.
