Ikuti Kami:

Sultan Terengganu Sihat Walafiat, Bakal Teruskan Rawatan Susulan Di Luar Negara

Sultan Terengganu Sihat Walafiat, Bakal Teruskan Rawatan Susulan Di Luar Negara

PUTRAJAYA — Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin kini berada dalam keadaan sihat walafiat serta dalam keadaan yang baik. Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu hari ini, Baginda bakal meneruskan rawatan susulan di luar negara seperti yang dijadualkan oleh pasukan perubatan Baginda.

“Alhamdulillah dengan izin dan rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala jua dan dengan berkat doa seluruh rakyat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kini berada dalam keadaan sihat walafiat.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan berada dalam keadaan yang baik dan akan meneruskan rawatan susulan sebagaimana dijadualkan oleh pasukan perubatan Baginda di luar negara,” menurut kenyataan itu.

Melalui kenyataan yang sama, Sultan Mizan turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Baginda. Pihak Pejabat KDYMM Sultan Terengganu turut memohon doa agar Allah SWT terus mengurniakan kesihatan yang berpanjangan serta mempermudahkan segala urusan Baginda.

Sumber Berita:
Kenyataan Akhbar Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu (Diedarkan menerusi Jabatan Penerangan Malaysia, Putrajaya)

Loading...