Komuniti

Raja Muda Selangor Turun Padang, Ziarah dan Hulur Bantuan Mangsa Banjir di Kuala Selangor

Oleh

Raja Muda Selangor Turun Padang, Ziarah dan Hulur Bantuan Mangsa Banjir di Kuala Selangor

KUALA SELANGOR – Keprihatinan terhadap nasib rakyat yang diuji bencana sekali lagi ditunjukkan oleh kepimpinan diraja Selangor apabila Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan berangkat menziarahi mangsa banjir di daerah ini.

Foto DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mnyampaikan bantuan terus kepada rakyat Selangor di Kuala Selangor

Baginda meluangkan masa melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang bagi mendekati secara langsung penduduk yang terjejas akibat musibah banjir. Kehadiran baginda memberikan sinar ceria dan kelegaan emosi kepada para mangsa, termasuk golongan warga emas dan kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Menerusi tinjauan tersebut, Tengku Amir Shah turut diberikan taklimat terperinci oleh pihak berkuasa tempatan mengenai situasi semasa bencana serta perkembangan operasi bantuan yang sedang giat digerakkan di kawasan-kawasan terjejas.

Selain menyantuni mangsa secara dekat, baginda turut berkenan menyumbangkan bantuan kewangan dan barangan bagi meringankan beban kewangan serta kesukaran yang dihadapi oleh keluarga terjejas. Antara inisiatif yang disampaikan termasuklah Bantuan Wang Ihsan (BWI) serta baucar sumbangan khas tajaan Yayasan Sultan Selangor (YSS) dan Segi Fresh, di mana setiap mangsa turut menerima baucar bernilai RM500.

Berdasarkan laporan terkini, situasi banjir di Selangor menyaksikan ratusan mangsa terpaksa berlindung di beberapa PPS di seluruh negeri susulan kediaman mereka ditenggelami air. Lawatan turun padang oleh baginda ini jelas mencerminkan jiwa prihatin institusi diraja Selangor yang sentiasa berdiri teguh bersama rakyat di saat suka dan duka.

, ,