Konsert

D’MASIV Satukan Noh Salleh, Aziz Harun Di Pentas KL

Oleh

D’MASIV Satukan Noh Salleh, Aziz Harun Di Pentas KL

KUALA LUMPUR: Gabungan tiga nama popular dari Indonesia, Malaysia dan Brunei bakal menjadi tarikan utama konsert D’MASIV Asia Home Run Kuala Lumpur apabila kumpulan pop terkenal Indonesia itu berkongsi pentas bersama Noh Salleh dan Aziz Harun, Jumaat ini.

Lebih menarik, konsert yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 20 November itu bukan sekadar menampilkan kedua-dua penyanyi berkenaan sebagai artis undangan, sebaliknya menjanjikan kolaborasi eksklusif bersama vokalis D’MASIV, Rian Ekky Pradipta.

Antara persembahan yang dirancang termasuk gandingan Rian dan Noh menerusi lagu Angin Kencang, Ingin Lekas Memelukmu Lagi serta Di Bawah Langit Yang Sama.

Peminat turut berpeluang menyaksikan Rian berduet dengan penyanyi kelahiran Brunei, Aziz Harun, menerusi lagu popular D’MASIV, Merindukanmu.

Pengarah Projek Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman berkata, pemilihan Noh dan Aziz dibuat sendiri oleh pihak pengurusan D’MASIV bagi memberikan pengalaman berbeza kepada peminat yang hadir.

Menurutnya, gabungan tiga penyanyi dengan identiti muzik tersendiri itu diharap dapat mencetuskan momen istimewa, sekali gus menjadi antara kemuncak persembahan pada malam berkenaan.

Kolaborasi terbabit juga memperlihatkan hubungan muzik serantau yang terus berkembang, khususnya menerusi pertemuan artis Indonesia, Malaysia dan Brunei dalam satu persembahan.

D’MASIV Satukan Noh Salleh, Aziz Harun Di Pentas KL

Malaysia Dianggap Rumah Kedua

Kuala Lumpur merupakan destinasi keempat dalam siri jelajah D’MASIV Asia Home Run selepas kumpulan itu mengadakan persembahan di Taiwan, Hong Kong dan Singapura.

Jelajah berkenaan dijadualkan berakhir di Jakarta, Indonesia, sekali gus menjadikan persembahan di Malaysia antara persinggahan penting sebelum kumpulan itu menamatkan siri konsert mereka.

Shamsir Firdaus berkata, D’MASIV teruja untuk kembali bertemu peminat di Malaysia yang selama ini memberikan sokongan berterusan terhadap perjalanan muzik kumpulan berkenaan.

“D’MASIV sememangnya sudah tidak sabar untuk kembali bertemu peminat mereka di Kuala Lumpur. Malaysia sudah dianggap seperti rumah kedua buat kumpulan ini kerana sambutan luar biasa yang sentiasa diberikan peminat sejak awal kemunculan mereka.

“Mereka amat merindui suasana konsert di Malaysia, terutama kehangatan dan energi yang ditunjukkan oleh peminat setia yang dikenali sebagai Masivers,” katanya.

Menurutnya, persiapan konsert sudah dirancang dengan teliti oleh pihak penganjur bersama D’MASIV serta artis undangan bagi memastikan kelancaran persembahan.

D’MASIV Satukan Noh Salleh, Aziz Harun Di Pentas KL

Dua Jam Imbau Nostalgia

Selain kolaborasi bersama Noh dan Aziz, D’MASIV dijangka menghiburkan peminat selama kira-kira dua jam menerusi gabungan lagu popular serta karya terbaharu mereka.

Antara lagu yang dijangka dipersembahkan termasuk Cinta Ini Membunuhku, Jangan Menyerah dan Pergilah Kasih, yang cukup sinonim dengan perjalanan muzik kumpulan itu sejak awal kemunculan mereka.

Ditubuhkan pada 2003, D’MASIV terus mengekalkan pengaruh dalam industri muzik Indonesia serta mempunyai kelompok peminat tersendiri di Malaysia.

Selain Rian selaku vokalis, kumpulan itu turut dianggotai Dwiki Aditya Marsall dan Nurul Damar Ramadan sebagai pemain gitar, Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass) serta Wahyu Piadji (dram).

Bagi peminat yang membesar dengan lagu-lagu D’MASIV, konsert berkenaan bukan sahaja menawarkan peluang mengimbau kenangan, malah menyaksikan karya kegemaran mereka diberikan sentuhan berbeza menerusi kolaborasi bersama penyanyi serantau.

Konsert anjuran Neptunes Presents bersama Antara Suara itu dijadualkan bermula pada jam 8 malam.

Tiket masih ditawarkan pada harga RM148 bagi kategori Platinum, Festival (RM188), Ruby atau Festival Seating (RM298) dan Super VIP (RM588).

Maklumat lanjut serta pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman sesawang rasmi dmasivtour.com.

, , , , , ,