Konsert

11,000 Banjiri Unifi Arena, 5SOS Kembali 4 Disember

Oleh

11,000 Banjiri Unifi Arena, 5SOS Kembali 4 Disember

KUALA LUMPUR – Penantian hampir sedekad peminat kumpulan pop rock terkenal Australia, 5 Seconds of Summer (5SOS), akhirnya terubat apabila empat anggota kumpulan itu kembali menggegarkan pentas Malaysia di hadapan kira-kira 11,000 penonton.

Konsert EVERYONE’S A STAR! WORLD TOUR 2026 yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil malam tadi menyaksikan Luke Hemmings, Michael Clifford, Calum Hood dan Ashton Irwin menghiburkan peminat menerusi persembahan penuh bertenaga.

Kehadiran ribuan peminat yang memenuhi arena berkenaan sekali gus membuktikan kumpulan itu masih mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan peminat muzik tempatan meskipun sudah hampir 10 tahun tidak mengadakan persembahan di Malaysia.

11,000 Banjiri Unifi Arena, 5SOS Kembali 4 Disember

Selepas 10 tahun, 5 Seconds of Summer hadiahkan malam istimewa buat peminat mereka malam tadi di Unifi Arena, Bukit Jalil.

 

Lebih menggembirakan, penganjur SAH Entertainment turut mengesahkan 5SOS bakal kembali mengadakan konsert kedua di Malaysia pada 4 Disember ini, sekali gus memberi peluang kepada peminat yang terlepas menyaksikan persembahan pertama mereka.

Kepulangan itu pastinya dinantikan, terutama dalam kalangan peminat yang masih mahu merasai pengalaman menyaksikan kumpulan berkenaan beraksi secara langsung.

Sepanjang konsert, suasana Unifi Arena gamat dengan sorakan dan nyanyian bersama peminat yang mengikuti setiap persembahan kumpulan itu.

Antara lagu yang terus menjadi kegemaran peminat termasuk Youngblood, Amnesia, She Looks So Perfect, Easier dan Ghost of You yang cukup sinonim dengan perjalanan muzik 5SOS.

Selain deretan lagu popular, kumpulan berkenaan turut memperkenalkan karya terbaharu daripada album studio keenam mereka, EVERYONE’S A STAR!, yang memperlihatkan perkembangan dan kematangan muzik sepanjang lebih sedekad berkarya.

Gabungan lagu lama serta material baharu memberikan pengalaman tersendiri kepada peminat yang membesar dengan muzik 5SOS sejak awal kemunculan kumpulan itu.

11,000 Banjiri Unifi Arena, 5SOS Kembali 4 Disember

Insomniacks curi tumpuan sebagai pembuka tirai konsert 5SOS sekaligus buktikan kualiti band tempatan di pentas antarabangsa.

 

Menariknya, kemeriahan malam berkenaan turut diserikan dengan kemunculan kumpulan pop rock tempatan, Insomniacks, yang diberi penghormatan membuka pentas konsert antarabangsa itu.

Peluang berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan lebih luas kepada Insomniacks, malah memperlihatkan kemampuan bakat tempatan untuk berkongsi pentas dengan nama besar industri muzik antarabangsa.

Persembahan bertenaga mereka turut mendapat perhatian penonton sebelum pentas diserahkan kepada 5SOS.

Malah, Insomniacks sekali lagi bakal tampil sebagai artis pembuka bagi konsert kedua 5SOS pada 4 Disember depan.

Bagi peminat yang tidak berkesempatan menghadiri konsert pertama, persembahan susulan itu dijangka menjadi satu lagi peluang untuk menikmati gabungan dua kumpulan berkenaan dalam satu acara.

Kejayaan menghimpunkan kira-kira 11,000 peminat turut memberikan gambaran positif terhadap sambutan penonton tempatan kepada penganjuran konsert artis antarabangsa di Malaysia.

Penganjuran konsert itu juga membuktikan karya muzik yang terus dekat di hati peminat mampu mengekalkan hubungan antara artis dan pendengar meskipun sudah lama tidak bertemu di pentas persembahan.

 

11,000 Banjiri Unifi Arena, 5SOS Kembali 4 Disember

Konsert kedua EVERYONE’S A STAR! WORLD TOUR 2026 pada 4 Disember ini masih dianjurkan SAH Entertainment, dengan Insomniacks sebagai artis pembuka.

Maklumat lanjut serta pembelian tiket boleh diperoleh menerusi laman web www.golive-asia.com.

, , , , , ,