Komuniti

Sky Empire Salur RM21,000 Kepada Anak Yatim dan Asnaf, Bukti Media Sosial Boleh Jadi Medium Kebajikan

Oleh

Sky Empire Salur RM21,000 Kepada Anak Yatim dan Asnaf, Bukti Media Sosial Boleh Jadi Medium Kebajikan

IPOH – Ketika media sosial sering menjadi medan mengejar populariti, mencipta sensasi dan mencetuskan kontroversi, komuniti sukarelawan Sky Empire memilih pendekatan berbeza apabila menjadikan platform digital sebagai penghubung untuk menyantuni golongan kurang bernasib baik.

Menerusi semangat kebersamaan yang dibina dalam kalangan pengikut TikTok, komuniti berkenaan berjaya mengumpulkan sumbangan kira-kira RM21,000 untuk membantu lima keluarga asnaf serta  pertubuhan anak yatim terpilih.

Sumbangan itu disalurkan sempena Majlis Kesyukuran dan Bacaan Tahlil Sky Empire yang berlangsung di Kampung Sungai Tapah, di sini, malam semalam.

Sky Empire Salur RM21,000 Kepada Anak Yatim dan Asnaf, Bukti Media Sosial Boleh Jadi Medium Kebajikan

Keluarga asnaf dan pesakit kronik terima bantuan menerusi inisiatif Sky Empire.

 

Program yang diadakan buat tahun ketiga berturut-turut itu turut mendapat sokongan individu korporat, ahli komuniti dan penyumbang persendirian yang tampil secara sukarela.

Pengasas Sky Empire, Ahmad Faizal Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Anarchy Sky dalam kalangan pengguna TikTok berkata, pencapaian berkenaan membuktikan media sosial mempunyai potensi besar untuk menggerakkan aktiviti kemasyarakatan sekiranya digunakan dengan tujuan yang betul.

Sky Empire Salur RM21,000 Kepada Anak Yatim dan Asnaf, Bukti Media Sosial Boleh Jadi Medium Kebajikan

Anak-anak dari Pertubuhan Anak Yatim terpilih antara penerima utama bantuan Sky Empire.

 

Menurutnya, usaha tersebut pada awalnya digerakkan menggunakan sumber kewangan sendiri bersama beberapa rakan sebelum menarik perhatian individu yang mahu turut berkongsi rezeki.

“Pada mulanya, semuanya bermula daripada inisiatif kami sendiri secara berkumpulan. Apabila orang ramai nampak apa yang kami lakukan dan melihat ia sebagai satu usaha kebaikan, mereka mula datang sendiri untuk memberikan sumbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Eddie Janggut dan Johari Salleh.

Bermula Sendirian, Kini Hampir 200 Ahli

Mengimbas perjalanan Sky Empire, Ahmad Faizal berkata, komuniti yang sebelum ini dikenali sebagai Sky Kingdom bermula daripada usaha kebajikan secara individu sebelum berkembang menjadi kumpulan sukarelawan.

Kini, Sky Empire mempunyai hampir 200 ahli daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi matlamat membantu masyarakat memerlukan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

Menariknya, komuniti itu tidak mengenakan yuran keahlian atau mewajibkan anggotanya memberikan sumbangan kewangan.

Sebaliknya, penglibatan setiap ahli bergantung kepada kemampuan dan kesediaan masing-masing untuk menyokong program yang dijalankan.

Ahmad Faizal berkata, usaha kebajikan yang bermula di sekitar Subang Jaya sebelum ini kini diperluas ke Ipoh selepas beliau kembali menetap di kampung halamannya.

Selain anak yatim dan keluarga asnaf, Sky Empire turut memberikan perhatian kepada pesakit kronik, golongan orang kurang upaya (OKU) serta keluarga yang berdepan kesempitan hidup.

Antara inisiatif terdahulu termasuk bantuan berkaitan rawatan pembedahan tulang belakang serta sokongan kepada pesakit yang memerlukan di Melaka dan Kelantan.

Tiada Kutipan Terbuka, Utamakan Ketelusan

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menegaskan Sky Empire bukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar, sebaliknya bergerak sebagai komuniti sukarelawan yang mendapat sokongan ahli dan rakan korporat.

Justeru, katanya, pihaknya mengambil pendekatan tidak mengadakan kutipan derma secara terbuka melalui akaun atau kod QR kepada orang ramai.

Sebarang sumbangan diuruskan dalam kalangan ahli dan penyumbang yang bekerjasama dengan komuniti itu.

Beliau turut menekankan kepentingan dokumentasi, rekod kutipan dan agihan bantuan bagi memastikan setiap aktiviti dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

Bagi Ahmad Faizal, kepercayaan yang diberikan masyarakat merupakan amanah yang perlu dipelihara, terutama apabila melibatkan wang sumbangan untuk mereka yang berada dalam kesusahan.

Hasrat mendaftarkan Sky Empire sebagai NGO juga masih dalam perancangan, namun beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum langkah berkenaan dapat direalisasikan.

Sky Empire Salur RM21,000 Kepada Anak Yatim dan Asnaf, Bukti Media Sosial Boleh Jadi Medium Kebajikan

Ahmad Faizal@Anarchy Sky kekal komited bantu masyarakat melalui gerakan Sky Empire.

 

Pernah Dikecam, Namun Enggan Berhenti Membantu

Di sebalik kegiatan kebajikan yang dilaksanakan, Ahmad Faizal mengakui perjalanan membangunkan komuniti berkenaan tidak terlepas daripada cabaran, termasuk kritikan serta kecaman pengguna media sosial.

Menurutnya, penyebaran potongan video dan salah faham terhadap kenyataan yang dibuat pernah memberikan tekanan emosi kepadanya.

Bagaimanapun, pengalaman berkenaan tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan usaha membantu golongan memerlukan.

Sebaliknya, sokongan pengikut dan rakan seperjuangan menjadi pendorong untuk beliau kembali bangkit setiap kali berdepan kesukaran.

Ahmad Faizal turut mengakui pernah melalui fasa sukar dalam kehidupan sehingga memerlukan sokongan orang sekeliling, sekali gus menjadikan pengalaman itu sebagai dorongan untuk terus membantu orang lain.

Katanya, populariti dan jumlah pengikut bukan ukuran sebenar kejayaan sesebuah komuniti sekiranya pengaruh yang dimiliki tidak dimanfaatkan untuk perkara berfaedah.

Media Sosial Sebagai Jambatan Kebaikan

Bagi Sky Empire, kejayaan mengumpulkan sumbangan kira-kira RM21,000 bukan sekadar pencapaian dari sudut kewangan, sebaliknya menggambarkan kekuatan hubungan yang terbina melalui platform media sosial.

Walaupun ahli komuniti berkenaan datang daripada pelbagai latar belakang, minat untuk berkongsi rezeki menjadi titik persamaan yang menyatukan mereka.

Ahmad Faizal berharap lebih ramai pengguna media sosial melihat platform digital sebagai ruang menyebarkan nilai positif, membina semangat kesukarelawanan dan menggalakkan masyarakat saling membantu.

Beliau turut menegaskan tiada paksaan kepada sesiapa yang mahu menyertai Sky Empire kerana setiap bentuk bantuan harus lahir daripada keikhlasan.

“Yang baik ambil sebagai teladan, manakala yang buruk kita tolak ke tepi,” katanya.

Penganjuran majlis berkenaan memperlihatkan bahawa di sebalik pelbagai persepsi terhadap dunia media sosial, masih wujud komuniti yang berusaha memanfaatkan pengaruh digital untuk tujuan kebajikan.

Dalam dunia yang sering mengukur kejayaan menerusi jumlah tontonan dan pengikut, inisiatif Sky Empire membawa satu mesej bahawa nilai sebenar sesebuah pengaruh turut boleh dilihat melalui manfaat yang sampai kepada masyarakat.

, , , ,

Verified by MonsterInsights