KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Deepavali tahun ini, Kumpulan Suria KLCC membawa kemeriahan Festival Cahaya ke tiga destinasi utama menerusi kempen perayaan yang berlangsung di Suria KLCC, Alamanda Shopping Centre dan Mesra Mall.
Bermula 23 Oktober 2026, ketiga-tiga pusat membeli-belah itu tampil dengan dekorasi berinspirasikan istana dan seni tradisional India, selain menawarkan persembahan kebudayaan, aktiviti interaktif serta ganjaran membeli-belah kepada pengunjung.
Kempen itu turut mengambil kesempatan daripada momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 apabila pengunjung tempatan dan antarabangsa berpeluang menikmati suasana sambutan Deepavali dalam konteks budaya Malaysia.

Persada Istana India jadi tarikan utama sambutan Deepavali di Suria KLCC.
Persada Istana India Di Suria KLCC
Di Suria KLCC, Centre Court diubah menjadi sebuah Persada Istana India dari 23 Oktober hingga 11 November 2026.
Ruang itu diinspirasikan daripada seni bina tradisional istana diraja India dan dihiasi sepasang burung merak setinggi 10 kaki, skrin LED, elemen air serta pavilion dengan ukiran kekisi keemasan dan kemasan sutera berwarna-warni.
Suasana perayaan turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional pada 1, 7 dan 8 November.
Pengunjung juga boleh menyertai Bengkel Menghias Tart Kolam oleh Flaaah serta Bengkel Gubahan Bunga Kertas Pleines Natures oleh Yves Rocher pada tarikh-tarikh terpilih sepanjang kempen berlangsung.

Bengkel menghias Tart Kolam dan gubahan bunga antara aktiviti interaktif yang disediakan oleh Suria KLCC untuk pengunjung sempena Deepavali.
Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan, inspirasi utama sambutan kali ini datang daripada budaya rumah terbuka yang sinonim dengan Deepavali di Malaysia.
Pendekatan itu diterjemahkan melalui ruang yang mengalu-alukan pengunjung untuk menikmati persembahan, aktiviti keluarga, sesi fotografi dan pengalaman makan serta membeli-belah dalam suasana perayaan.
Ganjaran Membeli-Belah Turut Menanti
Selain pengalaman visual dan budaya, Suria KLCC turut menawarkan ganjaran sempena Deepavali.
Pelanggan yang berbelanja RM1,000 dan ke atas dalam dua resit layak menerima e-Voucher Membeli-belah Suria KLCC bernilai RM50, tertakluk kepada 300 penebusan pertama.
Sementara itu, pelanggan yang membeli e-Voucher Suria KLCC bernilai RM1,000 akan menerima tambahan e-Voucher bernilai RM100, terhad kepada 20 pelanggan terawal.

Gerbang Perayaan dan Kolam Bercahaya sambut pengunjung yang hadir ke Alamanda Putrajaya untuk persediaan sambutan Deepavali tahun ini.
Alamanda Putrajaya Tampil Dengan Kolam Berwarna-Warni
Di Putrajaya, Alamanda Shopping Centre menyambut Deepavali dari 23 Oktober hingga 9 November dengan dekorasi kolam berwarna-warni, lampu tradisional serta gerbang perayaan.
Ruang itu direka untuk menampilkan suasana Festival Cahaya yang lebih mesra keluarga dan penuh warna.
Pada masa sama, kempen jualan Green Ribbon Pin diteruskan bagi menyokong kesedaran kesihatan mental, dengan hasil jualan pin berharga RM10 disalurkan terus kepada NGO berkaitan.
Pelanggan yang berbelanja RM500 dan ke atas pula layak menerima e-Voucher Alamanda bernilai RM30 bersama dua batang lilin wangi, manakala perbelanjaan RM1,500 dan ke atas menawarkan e-Voucher RM80 serta sepasang lilin wangi.

Dekorasi Kolam Bercahaya jadi tarikan utama sambutan Deepavali di Alamanda.
Suasana Ala Istana Sampai Ke Terengganu
Kemeriahan turut diperluaskan ke Pantai Timur menerusi Mesra Mall di Kemasik, Terengganu.
Dari 1 hingga 10 November 2026, kawasan Concierge dihiasi dalam konsep Persada Istana India dengan elemen berunsurkan istana, motif tradisional, susunan bunga, warna ceria dan pencahayaan hangat.
Bagi Program Ganjaran Pelanggan Mesra Mall pula, 100 pelanggan pertama yang berbelanja RM350 dan ke atas dalam dua resit boleh menebus Baucar Membeli-belah Mesra Mall bernilai RM30.
Lebih Daripada Sekadar Dekorasi Perayaan
Pendekatan Suria KLCC Group kali ini memperlihatkan bagaimana pusat membeli-belah semakin berkembang sebagai destinasi gaya hidup dan pengalaman, bukan sekadar lokasi transaksi.
Dengan menggabungkan dekorasi budaya, persembahan, bengkel, aktiviti keluarga serta ganjaran membeli-belah, sambutan Deepavali itu dirangka sebagai pengalaman yang boleh dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam masa yang sama, ia turut memperlihatkan bagaimana unsur budaya tempatan boleh digabungkan dengan sektor peruncitan dan pelancongan bagi menjadikan sambutan perayaan lebih dekat dengan pengunjung tempatan serta antarabangsa.

