KUALA LUMPUR: Sembilan nama popular industri hiburan tempatan bakal berkongsi satu pentas menerusi Simfoni Seni Bintang Universe UTM, yang dijadual berlangsung pada 17 Oktober 2026 di Grand Banquet Hall, UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur.
Acara yang bermula pada jam 8.45 malam hingga 11.30 malam itu bakal menghimpunkan Amir Ahnaf, Ara Johari, Ismail Izzani, Iskandar Ismail, Mohsein Kush, Nuha Bahrin, Syasya Rizal, Syamel dan Syed Iqbal dalam sebuah malam yang meraikan muzik, seni serta bakat tempatan.
Bukan sekadar konsert biasa, Simfoni Seni Bintang Universe UTM dirangka sebagai sebuah pengalaman hiburan yang lebih menyeluruh menerusi gabungan persembahan pentas, suasana elegan, interaksi bersama peminat serta ruang untuk mencipta kenangan istimewa bersama barisan artis pilihan.
Menurut penganjur, acara berkenaan diwujudkan sebagai platform untuk menyatukan peminat, pelajar, komuniti UTM dan masyarakat umum dalam satu ruang apresiasi seni.
Malah, penonton diharap bukan sahaja hadir untuk menyaksikan persembahan, tetapi turut membawa pulang pengalaman yang benar-benar bermakna selepas tamat acara.

Gabung Muzik, Seni Dan Interaksi Peminat
Simfoni Seni Bintang Universe UTM dianjurkan oleh UTM dengan kerjasama Universal Music Malaysia, selain penglibatan rakan label termasuk L.Y. Music Factory dan Faithful Music.
Gabungan artis daripada latar muzik dan karakter berbeza dijangka menjadi antara daya tarikan utama acara, terutama dengan kemunculan nama seperti Ara Johari, Syamel, Ismail Izzani dan Nuha Bahrin yang masing-masing mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Dalam masa sama, kehadiran Amir Ahnaf, Syasya Rizal, Syed Iqbal serta barisan lain memberi warna lebih luas kepada konsep persembahan malam berkenaan.

Meet & Greet Untuk Peminat
Bagi peminat yang mahu menikmati pengalaman lebih eksklusif, tiket Tier 1 berharga RM100 turut merangkumi akses ke sesi Meet & Greet bersama artis selepas persembahan, manakala tiket Tier 2 ditawarkan pada harga RM60.
Acara itu turut dibuka kepada orang awam dan bukan terhad kepada pelajar UTM sahaja. Lebih menarik, bagi pelajar UTM Johor Bahru, penganjur menyediakan lima bas percuma ke UTM Kuala Lumpur secara terhad dengan konsep siapa cepat, dia dapat.
Dengan kapasiti tempat yang terhad terutama bagi kategori yang menawarkan sesi Meet & Greet, orang ramai digalakkan mendapatkan tiket lebih awal menerusi kod QR yang disediakan pada poster rasmi atau platform jualan tiket acara.
Berbekalkan sembilan artis, konsep persembahan eksklusif serta interaksi lebih dekat bersama peminat, Simfoni Seni Bintang Universe UTM dilihat berpotensi menjadi satu malam yang bukan sekadar menghiburkan, tetapi turut meraikan kepelbagaian bakat seni tempatan dalam suasana yang lebih intim dan istimewa.

