Ikuti Kami:

16 Tahun Hidupkan Watak Lady Gaga, Donna Marie Tak Sabar Temui ‘Little Monsters’ Malaysia 

16 Tahun Hidupkan Watak Lady Gaga, Donna Marie Tak Sabar Temui ‘Little Monsters’ Malaysia 

KUALA LUMPUR – Peminat muzik pop tanah air bakal disajikan sebuah pengalaman persembahan tribute berskala konsert menerusi GAGA Live yang menampilkan penghibur tribute Lady Gaga antarabangsa terkenal, Donna Marie. Persembahan yang membawakan vokal secara langsung, kostum dramatik, serta koreografi bertenaga ini dibawakan khas oleh MyTicket Holdings dan MyMember.

Acara ini bakal dipentaskan di dua lokasi utama iaitu pada 25 September 2026 di EX8 Collective Concert Hall, Subang, sebelum diteruskan ke Indoor Arena, EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 27 September 2026, di mana kedua-dua acara dijadualkan bermula pada jam 8.30 malam.

Bukan sekadar persembahan nyanyian semula, GAGA Live direka sebagai pengalaman konsert lengkap yang menggabungkan elemen teater, visual berimpak tinggi, serta barisan lima penari profesional antarabangsa iaitu Giuseppe Morra, Emma Tomkins, Lizzy-Lou Koster, Will Garner, dan Pablo Sánchez Feltrer. Konsert ini turut dimeriahkan dengan penampilan artis jemputan iaitu pelakon dan penyanyi dari Malaysia, Natasha Sass, serta penyanyi popular dari Filipina, JV Decena.

Sepanjang konsert tersebut, sebanyak 21 persembahan akan dibawakan merangkumi lagu-lagu hits pelbagai era seperti Just Dance, Bad Romance, Poker Face, Shallow, Rain On Me, Die With A Smile, pelbagai medley, serta persembahan encore Edge of Glory.

Senarai Lagu
Foto dari kiri Donna Marie & Natasha Sass hadir ke sidang media yang diadakan hari ini.

Menerusi sesi perkongsian di majlis media hari ini, Donna Marie meluahkan rasa teruja dan gembira kerana ini merupakan kali pertama beliau dan pasukannya menyantuni peminat di Malaysia. Beliau yang telah bergiat aktif selama 16 tahun sebagai peniru identiti (impersonator) Lady Gaga menyatakan bahawa pasukannya komited untuk membawakan pertunjukan yang paling menakjubkan. Selain memuji layanan mesra yang diterima sepanjang berada di sini, Donna turut menjanjikan persembahan penuh tenaga dan berharap dapat mencipta kenangan indah bersama para peminat di Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Beliau turut menekankan bahawa tumpuan utama persembahan ini adalah untuk memberikan 100 peratus tenaga dari segi muzik, fesyen, koreografi, dan teater demi menjalin hubungan yang erat bersama penonton.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan ini, tiket ditawarkan dalam tiga kategori iaitu Party Zone (RM189), Platinum (RM239), dan Diamond (RM289), beserta pakej tambahan Meet & Greet pada harga RM88 menerusi platform MyTicket Asia.

Loading...