KUALA LUMPUR – Isu jenayah seksual melibatkan bapa tiri merogol anak perempuan ibarat kanser yang terus membarah dalam masyarakat kita hari ini. Menyedari betapa kritikalnya kes ‘haruan makan anak’ ini, penerbit tersohor, Dato’ A. Aida tampil mengambil langkah berani dengan menerbitkan sebuah naskhah berat berjudul Bisikan Nafsu.
Diangkat sebagai sebuah karya yang sarat dengan mesej kesedaran masyarakat, filem yang diarahkan oleh pendatang baharu kerusi pengarah filem, Riza Baharudin ini bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 1 Oktober 2026.
Malam gala tayangan filem itu berlansung malam tadi di TGV, Suria KLCC dan dihadiri oleh barisan pelakon, pengarah dan penerbit serta media. Tidak ketinggalan para peminat filem melayu yang dijemput secara eksklusif sebagai penonton terawal filem ini.

Barisan pelakon, pengarah dan penerbit filem Bisikan Nafsu .Filem ini bakal menemui penonton bermula 1 Oktober 2026
Selaku penerbit eksekutif merangkap penulis skrip naskhah ini, A. Aida menegaskan bahawa naskhah ini bukan sekadar hiburan kosong.
Menurutnya, matlamat utama Bisikan Nafsu dihasilkan adalah untuk membuka mata masyarakat, terutamanya golongan ibu yang berkahwin baharu agar lebih berwaspada terhadap ancaman yang mungkin menanti anak perempuan mereka di dalam rumah sendiri.

Bisikan Nafsu sentuh isu sensitif, A. Aida mahu tingkat kesedaran masyarakat.
Beliau juga menitipkan teguran mesra agar anak-anak gadis menjaga penampilan diri dengan tidak berpakaian terlalu seksi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Selain mengangkat isu jenayah seksual, saya juga ingin menonjolkan nilai kesetiaan. Kebiasaannya, apabila tragedi hitam sebegini berlaku, ramai lelaki akan memilih untuk meninggalkan pasangan mereka.
Namun, menerusi filem ini, saya mahu membuktikan bahawa masih wujud lelaki yang sanggup kekal di sisi wanita yang dicintainya biarpun diuji dengan tamparan yang cukup hebat,” jelasnya.
Sisi Gelap ‘Ustaz Romantik’
Dari segi plot penceritaan, Bisikan Nafsu menyelusuri kehidupan tragis Nadia (lakonan Azeva), seorang gadis yang hidupnya hancur dan trauma akibat menjadi mangsa rogol bapa tirinya sendiri secara berulang kali, sehingga dia beberapa kali cuba membunuh diri.

‘Bisikan Nafsu’ tampilkan Zul Huzaimy sebagai Ustaz Romantik (UR) dengan rahsia gelap.
Lebih memilukan, si pelaku jenayah itu merupakan seorang lelaki yang dihormati dan dikenali dengan gelaran UR atau ‘Ustaz Romantik’ (lakonan Zul Huzaimy). Di sebalik kopiah dan perwatakan waraknya, UR hakikatnya seorang ‘buaya darat’ yang turut menjalin hubungan sulit dengan rakan baik isterinya sendiri, Aida (Watie Sadali). Walaupun perbuatannya pernah dihidu oleh si isteri, Alyssa (Aleza Shadan), namun Alyssa memilih untuk memaafkannya atas dasar buta kerana cinta.

Haruan makan anak! ‘Bisikan Nafsu’ dedah trauma mangsa, angkat kesedaran mengenai jenayah seksual dalam keluarga.
Kemurungan yang dialami Nadia membuatkan dia bertindak memutuskan pertunangan dengan jejaka bernama Arisz (Aniq Suhair). Namun, Arisz enggan berputus asa, sebaliknya terus setia menemani Nadia sambil berusaha merungkai kebenaran di sebalik derita tunangnya itu.
Ujian Pengarah Baharu & Aksi Lagak Ngeri
Naskhah ini merupakan kolaborasi strategik antara Hello Production Sdn. Bhd., A. Aida Production, dan Mache Allstar United. Menariknya, ia juga merupakan filem pengenalan buat Hello Production, sebuah syarikat produksi baharu yang ditubuhkan dan diterbitkan sendiri oleh anak A. Aida, iaitu Azeva.
Menurut A. Aida, Azeva sendiri yang menyuarakan hasrat menubuhkan syarikat tersebut untuk menimba ilmu penerbitan dari peringkat akar umbi.
Dalam masa sama, pemilik Mache Allstar United, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Arisz Ab. Rahman menyifatkan kerjasama ini sangat bermakna kerana A. Aida merupakan mentor yang banyak membimbingnya di awal penglibatan industri.
Dalam projek perintis ini, A. Aida memfokuskan kepada sisi kreatif, manakala Datuk Arisz menyelia bahagian operasi dan kewangan produksi. Berkongsi mengenai pengalaman di set penggambaran, pengarah Riza Baharudin mengakui ada kalanya beliau berasa gugup kerana ini adalah pengalaman pertamanya mengarahkan filem.
Beliau turut berdepan cabaran merealisasikan babak lagak ngeri, di mana pelakon terpaksa beraksi terjun dari air terjun setinggi enam tingkat, selain babak menyelam di dalam air pada tempoh yang lama.
Pun begitu, beliau amat berpuas hati dengan komitmen tinggi yang diberikan oleh seluruh barisan pelakon. Bisikan Nafsu turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Raja Azmi, Ezzaty Abdullah, Aishah Husna, dan Lan Siro. Penonton juga bakal disajikan dengan penampilan istimewa oleh penyanyi Ameng Spring dan Siti Khadijah.

