Ikuti Kami:

Status Pelaburan EHP FELDA RM2.3 Bilion Kembali Jadi Tumpuan Awam

Status Pelaburan EHP FELDA RM2.3 Bilion Kembali Jadi Tumpuan Awam

KUALA LUMPUR — Perbincangan mengenai portfolio pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC), kembali mendapat perhatian umum susulan persoalan yang dibangkitkan menerusi satu hantaran di media sosial Facebook Rongcha Mo.

Perkembangan itu timbul seiring dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Fella, yang dilaporkan membabitkan 6 kertas siasatan lama yang dibuka semula bagi transaksi pelaburan dalam tempoh 2010 hingga 2020, di samping 1 kertas siasatan baharu melibatkan pemaju berhubung kes pertukaran tanah.

Menerusi hantaran tular tersebut, timbul persoalan berhubung status pelaburan dalam Eagle High Plantations (EHP) yang dimulakan pada 2016, yang membabitkan tuntutan modal asal dianggarkan antara RM2.3 bilion hingga RM2.5 bilion.

Berdasarkan garis masa perundangan, FIC Properties Sdn. Bhd. (FICP) telah memperoleh keputusan berpihak kepadanya melalui Tribunal Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC) pada 14 Jun 2024.

Melalui keputusan itu, penjual iaitu PT Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Corpora (RC) diwajibkan melaksanakan hak jual balik (put option) ke atas 37 peratus pegangan saham EHP yang dibeli pada 2016. Terma perikatan asal tersebut membolehkan FICP menuntut semula keseluruhan harga pelaburan berserta kadar faedah 6 peratus setahun.

Walaupun keputusan SIAC berpihak kepada Felda, pemulihan dana berbilion ringgit itu masih berdepan proses undang-undang di peringkat antarabangsa. Menurut jawapan bertulis kerajaan di Dewan Rakyat pada 5 Ogos 2025, pihak RCI dan RC telah memfailkan permohonan di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat bagi mencabar penguatkuasaan keputusan SIAC di Indonesia.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa pemulihan sepenuhnya dana berkenaan masih bergantung kepada proses mahkamah di luar negara, sekali gus mencetuskan perbincangan lanjut di platform awam seperti yang dibangkitkan dalam media sosial berkenaan.

Loading...