Ikuti Kami:

Dapat Sambutan Hangat, Filem ‘Konspirasi’ Bakal Ditayangkan Semula

Dapat Sambutan Hangat, Filem ‘Konspirasi’ Bakal Ditayangkan Semula

KUALA LUMPUR — Filem sensasi tempatan, Konspirasi, bakal mendapat ‘nafas kedua’ menerusi perancangan tayangan semula edisi khas di pawagam tidak lama lagi.

Foto dari kiri Amir Nafis, Esma Daniel, Jack Yeoh, Che Puan Sarimah Ibrahim dan Datuk Adi Putra hadir di sidang media tayangan khas Filem Konspirasi

Syarikat penerbitan Elepfilm Entertainment Sdn Bhd mengesahkan pihaknya kini sedang menantikan kelulusan rasmi daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi merealisasikan hasrat tersebut, berikutan penamatan tayangannya secara mendadak pada 28 Mei lalu.

Penerbit Eksekutif Elepfilm Entertainment, Jack Yeoh berkata, keputusan membawa semula naskhah berkenaan dibuat susulan permintaan tinggi dan sokongan padu daripada peminat.

“Sasaran tarikh tayangan semula sudah ada dan pengumuman rasmi dijangka dibuat minggu depan. Bagaimanapun, sokongan serta kelulusan mengikut pekeliling FINAS amat diperlukan kerana tanpa persetujuan rasmi, projek ini tidak dapat dilaksanakan,” katanya pada sesi tayangan khas filem itu di TGV Pavilion Kuala Lumpur.

Selain pasaran domestik, pihak produksi turut merancang mengeksport Konspirasi ke pasaran antarabangsa seperti Taiwan dan Korea Selatan, selain memperluas penayangannya di platform penstriman digital. Langkah itu disokong kejayaan filem berkenaan di Singapura yang mampu bertahan hingga tujuh minggu di pawagam.

Menanggapi kontroversi yang melanda filem itu sebelum ini, pelakon utama Datuk Adi Putra menganggapnya sebagai sebahagian daripada dinamik dunia hiburan untuk menarik perhatian penonton.

“Elemen konspirasi dan sensasi memang perlu ada, tetapi mesej utama yang mahu disampaikan adalah pengajaran mengenai isu korupsi yang sejagat. Penonton boleh menilai realiti menerusi jalan cerita filem ini,” jelasnya.

Pelakon Che Puan Sarimah Ibrahim turut meluahkan rasa teruja atas peluang kedua tersebut. Katanya, kepuasan sebenar barisan pelakon dan kru adalah apabila kerja keras mereka akhirnya diakui dan dihargai penonton.

Sesi tayangan khas itu turut diseri dengan kehadiran YAM Tengku Temenggong Perlis, Dato’ Seri DiRaja Syed Amir Abidin Jamalullail; YM Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri DiRaja Farinawati Datuk Mohd Din; mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; serta barisan pelakon seperti Esma Daniel dan Amir Nafis.

Diterbitkan bersama oleh Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films dengan edaran Primeworks Studios, Konspirasi mengisahkan pasukan elit diketuai Adli yang merampas pelayan tersembunyi mengandungi senarai ahli politik korup, sebelum misi itu bertukar menjadi perangkap berbahaya akibat pengkhianatan dalaman.

Mengenai penamatan tayangan filem itu selepas seminggu ditayangkan Mei lalu, Elepfilm menegaskan keputusan berkenaan dibuat atas pertimbangan dalaman syarikat dan bukannya gimik gimik publisiti atau akibat campur tangan pihak luar.

FINAS turut mengesahkan penamatan tayangan dibuat atas permintaan penerbit sendiri menerusi makluman rasmi pengedar. Pihak penerbit menggesa orang ramai dan media agar menghentikan sebarang spekulasi tidak sah, sambil berharap sokongan berterusan daripada penonton tempatan apabila tarikh tayangan baharu diumumkan kelak.

Loading...