Hashim Rejab Saji Aksi 1950-an, ‘Orang Perang’ Bongkar Perjuangan Pahlawan Orang Asli Menentang Komunis
- oleh Editor MYBUZZ
- 4 Sep 2026 6:14 pm
KUALA LUMPUR – Pengarah berpengalaman Hashim Rejab kembali mewarnai industri perfileman tanah air menerusi naskhah epik aksi baharu bertajuk ‘Orang Perang’, yang dijadualkan menggegar pawagam di seluruh negara bermula 1 Oktober 2026.
Majlis pelancaran treler, poster rasmi serta runut bunyi (OST) filem Orang Perang berlansung pagi tadi di 10Stars Cinemas, Hextar World Empire City, Damansara dan telah dihadiri oleh barisan teraju utama, pengarah dan penerbit filem ini serta wakil media dan pempengaruh media sosial.
Diterbitkan bersama oleh 3LINE MEDIA SDN BHD dan NANORD STUDIO PRODUCTION, filem ini diinspirasikan daripada kisah benar masyarakat Orang Asli kaum Semai sekitar era 1950-an sewaktu Tanah Melayu berdepan ancaman pengganas komunis.
Naskhah ini memberi fokus khas terhadap keberanian masyarakat Orang Asli serta penubuhan pasukan elit Senoi Praaq yang terkenal dengan kepakaran menjejaki musuh di dalam hutan.

Barisan pelakon yang membintangi filem ‘Orang Perang’ pada pelancaran rasmi treler, poster rasmi serta runut bunyi filem itu di 10Stars Cinemas, Damansara
Perjuangan Bah Tangga & Pergolakan Kesetiaan
Jalan cerita Orang Perang berpusat kepada watak Bah Tangga, seorang pemuda Orang Asli yang pada awalnya direkrut secara paksa oleh pihak komunis. Selepas menyaksikan sendiri kekejaman terhadap bangsanya, beliau bersama rakan baiknya, Bah Ayob, mengambil keputusan untuk memberontak dan melarikan diri ke dalam rimba.

Antara babak mencengkam, pertarungan Bah Tangga lakonan Niezam Zaidi dengan askar Komunis dalam filem ‘Orang Perang’. Filem ini bakal menjengah ke pawagam seluruh Malaysia bermula pada 1 Oktober 2026.
Pelarian tersebut membawa mereka bertemu dengan pasukan Jungle Squad pimpinan Inspektor Syed Zainal. Meskipun pada mulanya dihurungi rasa prasangka, Bah Tangga akhirnya diserap masuk menjalani latihan ketat di bawah seliaan British SAS untuk menjadi anggota Senoi Praaq.
Konflik emosi menjadi semakin tajam apabila beliau terpaksa bertempur dengan sahabat lamanya, Bah Pelangkin, yang kini memilih untuk berjuang di pihak musuh.

Poster rasmi filem ‘Orang Perang’
Gabungan Pelakon Terkenal & Latar Rimba Asli
Naskhah aksi ini membariskan gabungan pelakon berpengalaman dan bakat baharu tempatan, antaranya Niezam Zaidi (Bah Tangga), Syazwan Zulkifli (Bah Ayob), Ammar Alfian (Bah Pelangkin), Fauzi Nawawi (Insp. Syed Zainal), Azhan Rani, Adam Corrie, Kazar Sarsi, Vanida Imran, dan Ms Pui Yi dan ramai lagi.
Bagi menyajikan suasana pertempuran yang realistik, penggambaran dijalankan di beberapa lokasi hutan semula jadi seperti Perdik Fall di Ulu Langat, Bukit Tunku, dan Kem Asia di Semenyih.
Treler filem ‘Orang Perang’
OST ‘Sumpah Leluhur’ Sentuhan Achoi Floor 88
Menambah impak emosi, pelakon utama Niezam Zaidi turut berduet bersama vokalis kumpulan Langkasuka, Elly Langkasuka, menerusi lagu runut bunyi rasmi (OST) bertajuk Sumpah Leluhur. Lagu ciptaan Achoi Floor 88 ini menyuntik elemen kasih sayang, kerinduan, dan pengorbanan pahlawan yang berjuang demi keselamatan tanah air.
Filem Orang Perang hadir bukan sekadar persembahan aksi bersenjata, malah sebagai penghormatan terhadap semangat juang dan sumbangan besar masyarakat Orang Asli dalam sejarah pertahanan negara.
