Zaki Yamani Tampil Lebih Matang Dan Emosi Menerusi Single Terbaharu ‘Akur’
- oleh Editor MYBUZZ
- 4 Sep 2026 6:18 pm
KUALA LUMPUR – Penyanyi muda berbakat, Zaki Yamani kini kembali mewarnai persada muzik tanah air menerusi pelancaran single terbaharunya bertajuk ‘Akur’. Karya yang diterbitkan di bawah edaran Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama A Cap Records ini memaparkan sisi pemikiran dan penyampaian muzik yang lebih matang daripada penyanyi berkenaan.
Lagu ‘Akur’ merupakan hasil ciptaan komposer Amzar Razqa bersama Bunga, manakala liriknya ditulis secara bersama oleh Bunga, Zaki Yamani dan Amzar Razqa. Berbeza daripada lagu perkahwinan atau perpisahan biasa yang sering disulami rasa marah dan dendam, ‘Akur’ mengambil pendekatan yang lebih tenang dengan menyelami cabaran emosi serta keberanian seseorang dalam melepaskan cinta yang tidak lagi mampu dipertahankan.

Foto Pengasas A Cap Records, Kimmy Khir, Zaki Yamani dan Pengurus Urusan Sony Music Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong di sidang media pelancaran lagu ‘Akur’ di Kuala Lumpur hari ini.
Pada sidang media berkenaan, Pengurus Urusan Sony Music Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong menyifatkan pelancaran lagu ini bukan sekadar sebuah single baharu, malah menjadi sebahagian daripada proses pembentukan identiti dan kematangan muzik Zaki. Katanya, pihak syarikat meyakini potensi besar Zaki dan berharap karya ini dapat membantunya membina ruang serta penerimaan yang lebih luas dalam kalangan pendengar.
Pandangan berkenaan turut disokong oleh Pengasas A Cap Records, Kimmy Khir yang menyifatkan Zaki sebagai seorang bakat muda yang berani berkarya serta mempunyai keupayaan untuk terus berkembang dalam industri seni tanah air.
Menerusi lagu ini, Zaki Yamani berkongsi bahawa cabaran terbesar baginya adalah untuk menyampaikan emosi rasa sedih dan kecewa secara jujur dan terkawal tanpa rasa terpaksa. Menggambarkan perjalanan emosi lagu ini menerusi tiga fasa utama iaitu keliru, kecewa dan reda, beliau berharap pendengar dapat melepaskan sesuatu hubungan atau fasa hidup dengan cara yang lebih tenang serta menerima ketentuan yang ditetapkan.
c
Zaki Yamani turut menyampaikan single terbaharunya ‘Akur’ pada sidang media berkenaan.
Dari segi gubahan muzik, Amzar Razqa sengaja mengaplikasikan major chord bagi menyuntik keunikan dalam melodi, sekali gus menghasilkan gabungan rasa indah tetapi dalam masa yang sama menyentuh hati. Karya ini tidak hanya memfokuskan kepada perpisahan pasangan semata-mata, malah turut menyentuh aspek reda terhadap perjalanan takdir hidup.
Single ‘Akur’ kini boleh didengari dan dinikmati oleh orang ramai menerusi semua platform penstriman digital utama.
